‘DAP akan jadi kingmaker PRU15’


(Malaysiakini) – Pemimpin DAP meletakkan keyakinan parti mereka akan menjadi penentu atau istilahnya kingmaker pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bendahari DAP Fong Kui Lun berkata, walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya bertahan selama 22 bulan, mereka tidak berputus asa untuk mengembalikan mandat rakyat.

“Setelah ditumbangkan melalui Langkah Sheraton pada awal tahun lalu, namun kita tidak berputus asa. Matlamat PH atau PH Plus akan diteruskan dan saya percaya para pengundi yang memilih PH membentuk kerajaan merasa terkilan dan bertekad untuk menjadi kerajaan semula pada PRU15.

“Saya percaya parti kita DAP akan menjadi kingmaker pada PRU15,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen DAP Kelantan 2021 yang pertama kali diadakan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Terdahulu, DAP Kelantan melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengadakan pemilihan kali pertama di negeri itu.

Ia selepas syarat-syarat untuk mengadakan pemilihan ahli jawatakuasa (AJK) negeri dipenuhi khususnya membabitkan jumlah cawangan yang berjaya ditubuhkan.

Seramai 27 calon mengambil bahagian bagi memilih 15 barisan kepimpinan tertinggi.

Sementara itu Fong yang juga anggota parlimen Bukit Bintang berkata, pihaknya menyeru semua peringkat termasuk di Kelantan menggembleng tenaga memastikan kemenangan PH.

“DAP Kelantan sudah bersedia untuk bersama rakan-rakan parti yang lain bagi berdepan pilihan raya umum akan datang.

“Dalam PRU15 akan datang, saya rasa kita akan bertanding di kawasan-kawasan di Kelantan untuk PH. Kita akan bincang (jumlah kerusi),” katanya ketika ditemui media.

 



Comments
Loading...