DAP “perangkap” Anwar Ibrahim
“Anwar sudah nafi secara terbuka dan kita (DAP) terima jawapan itu dengan prinsip kepercayaan terhadap Anwar,” kata Loke.
(FMT) – DAP menerima penafian Anwar Ibrahim mengenai rakaman audio kontrovesi baru-baru ini dan “yakin” presiden PKR itu tidak akan mengadakan kerjasama politik dengan pemimpin rasuah.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, yakin Ketua Pembangkang itu memahami syarat dan prinsip DAP berhubung kerjasama dengan pemimpin di luar kerangka Pakatan Harapan.
Beliau berkata, DAP menerima baik penafian Anwar berhubung rakaman audio yang dikaitkan dengan beliau dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
Anwar dan Zahid nafi mengadakan perbualan itu, namun rakaman itu dicanang oleh sesetengah pihak sebagai bukti wujud kerjasama antara dua pemimpin itu dalam menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.
“Anwar sudah nafi secara terbuka dan kita (DAP) terima jawapan itu dengan prinsip kepercayaan terhadap Anwar,” kata Loke.
Beliau yakin, Anwar selaku pengerusi PH, akur dengan pendirian DAP berhubung kerjasama dengan pihak di luar gagasan itu.
“Kita tidak boleh memasukkan pemimpin kleptokrat yang disabitkan kesalahan dari segi rasuah dan sebagainya.
“Ada garis merah di situ dan saya cukup yakin ia difahami oleh Anwar,” kata beliau.
DAP sebelum ini menyifatkan Zahid sebagai pemimpin yang tercalar kewibawaannya.
Presiden Umno itu menghadapi perbicaraan atas pelbagai tuduhan rasuah, selain menghadapi desakan dari dalam dan luar parti untuk berundur.
Loke berkata, sebarang kerjasama yang mahu diwujudkan oleh PKR pimpinan Anwar dengan Umno perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam Majlis Presiden PH.
Bagaimanapun, pada Loke, pendirian DAP dan Umno adalah jelas mengenai isu kerjasama antara mereka.
“DAP sudah memutuskan kita tidak ada kerjasama dengan Umno pada PRU15. Begitu juga, Umno kata ‘No DAP’. (Jadi) kita kembalikan mandat kepada rakyat,” kata beliau.
Loke berkata DAP mahukan PH berusaha membentuk kerajaan baharu bawah pimpinan Anwar pada PRU15 terlebih dahulu.
“Yang paling ideal bagi PH, bawah pimpinan Anwar, kita boleh membentuk kerajaan.
“Namun jika tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan, kena lihat keputusan PRU15 (untuk timbang) sama ada ruang untuk kerjasama (dengan parti lain),” tambahnya.