PN menang besar jika pertembungan 3 penjuru dalam PRU15, kata kajian
Kajian itu juga mendapati 42% pengundi inginkan PN untuk terus memegang tampuk pemerintahan negara, diikuti BN (13%) dan PH (11%).
(Malaysia Now) – Sebuah kajian mendapati kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai kelebihan untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Ketua Penyelidik Makmal Forensik Elektoral UKM Mohd Fuad Mat Jali, dapatan kajian yang dilakukan menunjukkan 40% daripada pengundi menyatakan PN akan memenangi sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru di mana-mana kerusi berbanding dengan BN dan PH, masing masing 13% dan 11%.
“Jangkaan ini juga dinyatakan oleh pengundi daripada Bumiputera Sabah iaitu 51% dan diikuti kaum Melayu (48%) dan Bumiputera Sarawak (35%). Manakala kaum India hanya 32% dan kaum Cina 23% sahaja.
“Kumpulan umur 21 hingga 39 tahun merupakan kumpulan umur yang paling ramai (43.5%) menyatakan parti PN boleh menang dan diikuti kumpulan umur 60 tahun ke atas secara purata 41% dan kumpulan 40 hingga 59 tahun dengan purata 39%,” katanya dalam satu kenyataan.
Kajian itu juga mendapati 42% pengundi inginkan PN untuk terus memegang tampuk pemerintahan negara, diikuti BN (13%) dan PH (11%).
Fuad berkata, kajian tersebut menggunakan panggilan telefon yang membabitkan 4,864 pengundi yang dipilih berasaskan data pemilih setakat suku ketiga tahun lalu dan sampel diambil dari 83 kawasan Parlimen seluruh Malaysia dan dijalankan dari 7 hingga 10 Februari lepas.
Menurut Fuad, kajian itu turut mengukur populariti pemimpin utama ketiga-tiga blok politik dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengatasi pemimpin lain seperti Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
“Hasil kajian kajian mendapati bahawa Muhyiddin Yassin yang paling mereka sukai dengan 55%, diikuti oleh Anwar Ibrahim (8%). Zahid dan bekas perdana menteri, Najib Razak masing-masing mendapat 2%.
“Dari segi Umur, semua kategori umur menyukai Muhyiddin. Didapati peringkat umur 60 tahun dan ke atas paling tinggi menyukai Muhyiddin dengan purata 58.3%. Bagi umur 21 hingga 39 tahun sebanyak 56.5% dan peringkat umur 40 hingga 59 tahun dengan peratusan 56%,” tambahnya.
Katanya, kemunculan Muhyiddin hampir setiap hari di kaca televisyen sambil berdoa memohon kemakmuran negara dan rakyat dirasakan menjadi antara sebab rakyat menyukai beliau.
Fuad memberitahu, meskipun media sosial amat mempengaruhi pengundi, media elektronik masih dipercayai pengundi dalam menyebarkan maklumat tentang polisi negara dan isu-isu semasa.
Majoriti responden juga menyatakan akan turun mengundi pada PRU15 akan datang.
“Akhirnya satu persoalan timbul dalam kajian ini di mana terdapat 30% responden tidak mahu menjawab. Siapakah mereka ini, adakah pengundi atas pagar atau sengaja tidak mahu menjawab atau dah selesa dengan keadaan sekarang.
“Inilah antara persoalan yang cuba dicari jawapannya apabila kajian tahap atau fasa 2 yang akan dijalankan sebelum PRU15,” katanya.