‘Yang teringin jadi PM perlu nyata rancangan keluar dari pendemik Covid-19’
Dr Mohamad Khir Toyo
SEJARAH telah terukir negara kita telah melalui tujuh darurat yang sangat berbeza setiap satunya.
Darurat pertama, darurat persekutuan Tanah Melayu, di istiharkan oleh kerajaan British pada tahun 1948 hingga 1960. Ianya bertujuan membendung ancaman Komunis.
Darurat kedua, darurat konfrontasi dengan Indonesia, tahun 1964. Bertujuan membendung ancaman Indonesia.
Darurat ke tiga, darurat Sarawak, tahun 1966, Ketua menteri Sarawak ketika itu Stephen Kalong hilang kepercayaan ahli dewan undangan negeri nya. Bertujuan kerajaan pusat ambil alih pentadbiran negeri Sarawak.
Darurat ke empat, darurat Mei 1969, Bertujuan membendung rusuhan kaum, selepas pilihanraya 10 mei 1969. Kerajaan masih belum ditubuhkan, parleman digantung dan MAGERAN menerajui negara.
Darurat ke lima, darurat Kelantan, tahun 1977, Menteri Besar Kelantan hilang kepercayaan dan sokongan ahli dewan undangan negeri Kelantan.
Bertujuan kerajaan pusat ambil alih pentadbiran negeri.
Darurat ke enam, darurat disebabkan jerebu, tahun 1997, melibatkan beberapa kawasan di Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak. Bertujuan menjaga kesihatan rakyat.
Darurat ketujuh Darurat kesihatan pendemik Covid 19, tahun 2021. Bertujuan mengawal pendemik Covid 19.
Semua darurat yang di proclaim oleh DYMM SPB Yang di-Pertuan Agung dgn sebab khusus dan tidak pernah dipendekkan dari masa yang telah ditetapkan, kecuali darurat pendemik Covid 19 yang akan berakhir pada 1 ogos 2021.
Saya merasakan tindakan untuk memendekkan darurat baru-baru ini adalah tindakan politik semata dan tidak akan berjaya serta tidak menguntungkan rakyat.
Lebih elok jika semua kita berusaha untuk memastikan supaya darurat ini tidak disambung lagi selepas 1 ogos ini.
Elok juga bagi mereka yang teringin sangat untuk menjadi Perdana Menteri ini menyatakan apakah perancangan mereka untuk negara keluar dari pendemik Covid 19, dan juga pendemik ekonomi negara yang semakin tenat ini.
Saya sebenarnya sangat risau bila Perdana Menteri sekarang dan bekas Perdana Menteri senada nengatakan bahawa negara sedang menuju bankrap dengan aliran kewangan negara semakin negatif, hutang negara sudah mencecah 70 peratus dari GDP negara.
Kantung negara sudah hampir kosong. Berapa lama kewangan negara mampu bertahan?
Jika tidak tenat mengapa kerajaan PN ini terpaksa lancarkan tabung wakaf potongan gaji di kalangan pegawai pegawai kerajaan?
Bagi saya negara perlukan idea dan polisi baru yang mampu menyelesaikan masalah rakyat yang rata rata hari ini berpendidikan dan mempunyai impian hidup yang sangat indah.
Rakyat sudah jelak dengan peranan semua badan kerajaan yang lebih menyusahkan dari membantu, lebih menyeksakan dari meringankan masalah rakyat.
Dari Pejabat Menteri sampai lah ke pejabat pegawai daerah semua nya sama. Yang selalu dilaksanakan arahan kepada rakyat dengan peraturan lapuk yang tidak berjejak di bumi lagi.
Birokrasi semakin parah, rakyat ingat tukar kerajaan maka akan bertukarlah wajah jabatan jabatan ini tetapi yg bertukar hanya wajah menteri menteri dan paling menyakitkan menteri baru ini semakin galak menyalahkan rakyat.
Negara perlukan tawaran baru dari mereka yg terlalu ingin menjadi perdana menteri.
Negara perlukan sistem pentadbiran baru yang segar dan menyantuni masalah rakyat dengan cepat dan mudah.
Apa maknanya jika tukar perdana menteri tetapi kita masih terpaksa menunggu hingga lima enam jam untuk berjumpa doktor di hospital.
Apa maknanya jika tukar perdana menteri, anak kita terus menganggur.
Apa maknanya kita tukar perdana menteri jika ingin memilki rumah sendiri hanya sekadar mimpi mainan hidup.
Apa maknanya kita tukar perdana menteri tetapi kita terus menjadi peminta sedekah di bumi bertuah ini.
Jangan sampai kita racunkan tikus tetapi padi habis dimakan tempua.