Lembaga disiplin Umno tiada kuasa singkir pemimpin berdepan kes mahkamah


(Malaysiakini) – Lembaga Disiplin Umno adalah badan bebas yang tidak mempunyai kuasa untuk melucutkan jawatan mana-mana pemimpin yang terkait dengan pendakwaan di mahkamah, kata laporan.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Zulhasnan Rafique dipetik Utusan Malaysia berkata perkara itu akan dimaklumkan setiausaha agung parti itu Ahmad Maslan.

Kata Zulhasnan, Lembaga Disiplin tidak terlibat dengan perjalanan politik parti.

“Lembaga Disiplin adalah sebuah badan bebas dan tidak terlibat dengan perjalanan politik parti.

“Justeru itu tidak akan memberikan komen untuk kes-kes salah laku tata etika Umno.

“Apa-apa pengumuman berkaitan aduan dan keputusan-keputusan kes salah laku tata etika ahli Umno akan dimaklum setiausaha agung Umno,” katanya.

Sebelum ini terdapat gesaan daripada segelintir pemimpin Umno yang mahukan pemimpin parti itu yang berdepan tuduhan di mahkamah dilucutkan jawatan.

Gesaan itu timbul selepas Umno pimpinan Presidennya Ahmad Zahid Hamidi dikatakan akan menjalinkan kerjasama dengan PKR.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan Ahmad Zahid dan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 Mac lalu membuat ketetapan tiada kerjasama politik dengan Anwar Ibrahim, DAP dan juga Bersatu.

Pemimpin Umno yang kini berdepan pendakwaan di mahkamah termasuk presiden Umno dan juga bekas perdana menteri Najib Razak.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno pada 2009 mungkin ditimbulkan dalam mesyuarat MT esok bagi meminta pemimpin berdepan kes mahkamah ‘berehat’ daripada terus memegang jawatan.

Pengamal undang-undang, Adnan Seman berkata, soal penggantungan jawatan itu diputuskan melalui satu mesyuarat MT Umno pada 29 Mei 2009 yang dipengerusikan presiden Umno ketika itu, Najib Razak atas syor jawatankuasa pengurusan parti.

Dalam hal itu, katanya, MT Umno mempunyai kuasa penuh menentukan sama ada jawatan mana-mana pemimpin parti berkenaan boleh digantung atau perlu ‘dicutikan’ sehingga kes pendakwaan mereka seleasai di mahkamah.

 



Comments
Loading...