Sayap UMNO Perlis sanggah perintah, suruh Zahid berhenti
Putik-putik awal perpecahan UMNO peringkat negeri Perlis mula kelihatan apabila ada sayap bahagian parti itu membuka mulut menyanggah perintah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
(Agenda Daily) – Mengulas tindakan Zahid memecat Datuk Seri Shahidan Kassim daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, mereka juga mendesak Presiden UMNO itu berundur segera demi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Arau, Nordiana Haszila Halim turut mempertikaikan sikap Zahid yang mengambil tindakan tanpa memikirkan kesan kepada politik Perlis secara keseluruhan.
“Sikap Presiden UMNO, yang membuat tindakan tanpa memikirkan kesan kepada politik di Negeri Perlis secara keseluruhan. Tindakan memecat sesiapa sahaja yang memberi pandangan berbeza ini pasti akan merosakkan parti dalam jangka masa panjang.
“Kami berpendapat sudah tiba masanya Dato’ Seri Presiden, berundurlah dengan cara terhormat demi memulihkan kembali keyakinan rakyat pada UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau, Salim Dahaman berkata akar umbi akan terus kekal bersama Shahidan, yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Arau, dan menolak Datuk Seri Azlan Man.
Bagaimanapun, Pergerakan Wanita Negeri Perlis belum membuat kenyataan mengenai perkara itu walaupun ketua mereka, Datuk Shamsiah Yasin, turut hadir pada sidang media Shahidan malam tadi.
Sementara itu, Hasmawati Abdul Hamid yang membuat kenyataan sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perlis pula menyambut baik pelantikan Azlan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang baharu.
Hasmawati adalah Ketua Puteri UMNO Kangar, sementara Azlan adalah Ketua UMNO Bahagian Kangar.
Pemuda UMNO Bahagian Arau di mana Shahidan menjadi Ketua UMNO Bahagian juga menyambut baik pelantikan Azlan menerajui parti itu pada peringkat negeri, dan berharap ia dapat membuka lembaran baharu dalam politik Perlis.
Ketua Pemuda UMNO, Bahagian Arau Syed Atif Syed Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan Azlan diharap dapat memantapkan penyelarasan gerak kerja politik dan pentadbiran kerajaan BN Perlis.