Muhyiddin terima panggilan telefon pemimpin Hamas di Semenanjung Gaza


(Sarawak Voice) – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semalam Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh yang berada di Semenanjung Gaza menghubungi beliau, memaklumkan mengenai situasi semasa di Palestin terutama di Gaza.

Perdana Menteri berkata beliau amat terkesan mendengar perkhabaran daripada pemimpin Hamas itu berhubung keadaan masyarakat Islam di Palestin, khususnya Semenanjung Gaza, yang amat menyedihkan serta menyayat hati.

“Saya menzahirkan ucapan takziah dan dukacita bagi pihak seluruh rakyat Malaysia atas kehilangan nyawa serta kecederaan yang dialami rakyat Palestin akibat serangan ganas rejim Israel,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook rasmi beliau hari ini.

Dalam perbualan telefon itu, Muhyiddin berkata Ismail sangat menghargai keprihatinan rakyat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin dan berterima kasih atas bantuan berterusan yang diberikan.

Perdana Menteri turut menegaskan pendirian serta usaha telah dan sedang diambil Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin tatkala menghadapi detik sukar itu.

Beliau turut mengulangi komitmen Malaysia dalam mencari jalan untuk menghulurkan bantuan sewajarnya bagi membantu meringankan kesukaran rakyat Palestin.

 



Comments
Loading...