Pemimpin DAP kritik perutusan khas PM isu Palestin
(Utusan) – Pemimpin DAP, Teng Chang Khim mengkritik tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian tegas Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin yang ketika ini berdepan pencerobohan serta keganasan tentera Israel.
Dalam hantaran Facebook beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang itu menyifatkan tindakan Perdana Menteri yang disampaikan melalui perutusan khas hanya sekadar mahu mengalih perhatian rakyat.
Sedangkan, kata Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor itu, Muhyiddin sepatutnya mengutamakan nyawa rakyat Malaysia yang terancam akibat Covid-19.
“Jangan mengalih perhatian rakyat daripada fokus. Jaga nyawa rakyat Malaysia yang terancam kerana Covid-19 dahulu. Bodoh!” tulisnya semalam.
Bagaimanapun, semakan menerusi Facebook beliau pada hari ini mendapati hantaran tersebut telah dipadamkan.
Tangkap layar hantaran berkenaan telah pun tular dan mengundang kritikan netizen yang menyifatkan tindakan Chang Khim itu tidak wajar memandangkan konflik Palestin-Israel adalah isu kemanusiaan yang perlu diperjuangkan semua sebagai tanda sokongan kepada nasib rakyat Palestin yang terus ditindas rejim zionis itu.