Ada ke Kadir Jasin menentang Perkara 153 di dalam Perlembagaan Malaysia?


Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberikan Yang di-Pertuan Agong tanggungjawab untuk menjaga kedudukan istimewa Melayu dan penduduk asli Negeri Sabah dan Sarawak. Pengkritik menganggapnya mewujudkan perbezaan yang tidak perlu dan perkauman antara rakyat Malaysia yang berlainan etnik yang hanya menguntungkan Bumiputera.

Amalan pilih bulu, kasta, hidupkan semula ‘konflik kelas’, kata Kadir Jasin

(FMT) – Amalan pilih bulu dan kasta “neo feudalism” yang berlaku ketika ini jika tidak ditangani mampu menyemarakkan semula “konflik kelas” antara rakyat dan kerajaan seperti masa lampau, kata A Kadir Jasin.

Wartawan veteran itu berkata, kemarahan rakyat terhadap “golongan kayangan”, “payung kuning”, “dewa dan dewi” kini berada di puncak.

Katanya, kerajaan dilihat gagal kerana mengamalkan “sistem kasta”, manakala golongan atasan pula dengan sewenang-wenang mengambil kesempatan daripada situasi berkenaan.

“Ini dimanifestasikan oleh hukuman berat dan cepat ke atas rakyat biasa yang melanggar undang-undang, khususnya berkaitan SOP Covid-19, tetapi melonggar dan melengah-lengahkan tindakan ke atas golongan tersebut yang terdiri daripada ahli politik kerajaan, selebriti dan aristokrat.

“Semakin gagal kerajaan, semakin bertambah pula kemarahan dan kebencian orang ramai terhadap pihak yang dianggap bersekongkol dengannya atau mendapat layanan istimewa daripadanya,” katanya di Facebook.

Kadir, yang merupakan penasihat media bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, turut mendakwa golongan ulama dan agamawan yang sebelum ini dihormati kini semakin tidak dipercayai kerana dilihat bersekongkol dengan kerajaan yang tiada keabsahan.

“Apa yang sedang berlaku sekarang mendedahkan ciri-ciri kasta dan kelas yang mendalam dalam masyarakat kita,” katanya.

Kemarahan warganet dilihat semakin memuncak di media sosial selepas pihak berkuasa dilihat sering melengah-lengahkan tindakan terhadap pemimpin politik dan selebriti yang melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) berbanding peniaga kecil atau rakyat yang “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.

 



Comments
Loading...