Perikatan Nasional, Islam, dan PAS


Mohsin Abdullah, Free Malaysia Today

Bercakap lagi mengenai kaji selidik atau “survey”. Kali ini survey yang dijalankan Invoke yang ditugaskan atau “commissioned “ oleh akhbar dalam talian Malay Mail. Hasil kajian dilaporkan Malay Mail awal bulan ini iaitu 3 Mei.

Menurut laporan itu, kaji selidik berkenaan menunjukkan “ramai” rakyat berpendapat kerajaan Perikatan Nasional telah “menjalankan tugas dengan baik mengetengahkan dasar Islamik” buat negara.

Izinkan saya mencelah. Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin dilabel (beberapa pihak) “pentadbiran Melayu-Islam”. Antaranya kerana ia dianggotai parti-parti politik Melayu-Islam walaupun yang memberinya “kelebihan” membentuk kerajaan ialah Gabungan Parti Sarawak yang turut menampilkan parti orang bukan Islam.

Jemaah menteri PN terdiri daripada majoriti orang Melayu beragama Islam. Lantas label “kerajaan Melayu-Islam”, satu label yang disenangi Muhyiddin dan pasukannya. Jelas label sedemikian ada faedahnya terutama untuk memikat undi Melayu Islam, golongan majoriti negara ini.

Berbalik kepada survey Invoke tadi. Ia dijalankan di antara 18 Disember 2020 dengan 21 Februari 2021 membabitkan 7,860 pengundi berdaftar. Objektifnya untuk mengesan sentimen pengundi enam bulan setelah tertubuhnya kerajaan PN yang bukan dipilih rakyat di samping mengukur “resentment” atau kemarahan terhadap rampasan mandat rakyat.

Kajian mendapati 45% responden yang diwawancara pada Februari setuju PN telah meningkatkan pelaksanaan dasar Islamik. Apa dasar yang dimaksudkan tidak dinyatakan.

Sebelum menyatakan PN melaksanakan dasar Islamik, tidak dapat dipastikan sama ada responden terlebih dahulu tahu akan “pendedahan” yang dibuat bekas timbalan menteri pertahanan (semasa kerajaan Pakatan Harapan ) Liew Chin Tong bahawa “kerajaan PN meningkatkan jumlah cabutan khas nombor ekor kepada 22 kali setahun secara diam-diam selepas Pakatan Harapan mengurangkannya”. Kenyataan Liew dibuat di Dewan Negara dan dilaporkan media 2 Januari tahun ini.

Kita tinggalkan kenyataan itu. Hakikatnya 45% responden yakin banyak dasar Islamik dibawa kerajaan PN. Tetapi yang menarik ialah hanya 38% percaya PAS memainkan peranan dalam penerapan dasar Islamik itu.

Kaji selidik juga mendapati hanya 51% responden Melayu percaya PAS telah meningkatkan serta memperbaiki pelaksanaan dasar pro-Islam kerajaan berbanding 59% yang memuji pentadbiran PN secara keseluruhan.

Ini agak memeranjatkan. PAS mengelar dirinya sebagai parti Islam yang mendukung perjuangan Islam dan dasar Islamik. PAS kita tahu komponen besar dalam kerajaan PN.

Adakah responden menyifatkan Bersatu yang lebih kecil daripada PAS serta Umno yang walaupun duduk dalam kerajaan tetapi bukan komponen PN, lebih berkesan dalam memperkenalkan dasar pro-Islam?

Apa pun, menurut Invoke, ini meletakkan PAS dalam satu situasi tidak selesa atau janggal. “Jika jumlah pengundi yang yakin PAS memainkan peranan besar dalam prestasi kerajaan semakin menyusut – apa lagi jumlah mereka yang meragui kemampuan PAS “mengIslamkan” pentadbiran negara – pengaruh parti itu dalam PRU boleh terjejas,” kata Invoke.

Menurut Invoke lagi, keadaan ini akan menyakinkan Umno bahawa tiada risiko besar untuk mengenepikan PAS dan Muafakat Nasional kerana “tauliah Islamik tidak semestinya dilihat terikat kepada parti Islam tertua negara”.

Sehingga kini Hadi Awang mahupun pemimpin lain PAS tidak memberi reaksi terhadap hasil kaji selidik berkenaan.

Baru-baru ini PAS mendapati dirinya diragui Pertubuhan Pertubuhan Pembela Islam atau PEMBELA. Ini berhubung kenyataan Muhyiddin bahawa kerajaan PN menyokong “Two-State Solution” sebagai penyelesaian kepada konflik Palestin – Israel.

Gabungan NGO Melayu-Islam itu yang pro-PAS berkata parti itu sebelum ini lantang menentang Two-State Solution tetapi kini “rakyat tertanya-tanya apakah PAS bersetuju dengan pendirian kerajaan yang mahu mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara bersama Palestin?”.

Berbalik semula kepada kaji selidik Invoke. Menurut Invoke lagi, walau pun kaji selidiknya menunjukkan PN secara keseluruhan dilihat oleh responden Melayu sebagai “pembela Islam yang lebih baik” daripada PAS, populariti PN merosot sejak Disember.

Ini, kata Invoke, boleh mencadangkan lebih ramai pengundi Melayu mulai melihat pentas perpaduan Melayu-Muslim PN sebagai retorik semata-mata dan ini satu tamparan ke atas kesahan kerajaan pada teras demografiknya.

Sebenarnya, bukan PN saja yang didapati turun populariti. Sokongan terhadap Muhyiddin sendiri didapati merosot. Ini menurut satu lagi kaji selidik. Kali ini dijalankan O2 Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur.

FMT baru baru ini melaporkan sokongan pengundi terhadap kepimpinan Muhyiddin merosot kepada 51% pada suku pertama tahun ini berbanding 66% pada suku tahun kedua tahun lalu.

Bagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, penurunan sokongan sebanyak 15% adalah sangat besar dan oleh itu Muhyiddin seharusnya melempar ‘tuala putih’ tanda “surrender” atau mengaku kalah kerana “kena terima hakikat kemerosotan signifikan dalam tempoh setahun menandakan rakyat tidak yakin kepada polisi dan keberkesanan kerajaan PN”.

Namun Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris, menganggap kemerosotan sokongan terhadap presidennya sebagai satu perkara biasa yang tidak harus dibimbangkan.

Kata beliau, apa yang perlu dirisaukan ialah sekiranya sokongan menjunam kepada 0%.

Lalu saya bertanya kepada diri sendiri. Adakah pemimpin yang langsung tidak punya apa-apa sokongan? Kalau ada, itu satu catatan sejarah – satu rekod dunia.

Jika Muhyididn atau mana-mana pemimpin yang mencatatkan sokongan 0%, ia bukan soal kerisauan lagi. Ia bererti si pemimpin bukan sahaja mesti berundur tetapi juga gulung tikar dan terus tutup kedai buat selamanya.

 



Comments
Loading...