Tun Dr Mahathir bidas pihak anti vaksin harus tanggung dosa sebar dakyah palsu
(Astro Awani) – Tun Dr Mahathir Mohamad membidas segelintir pihak yang menyebarkan fahaman anti vaksin termasuk ‘Mak Teh’ yang rakaman suaranya tular di media sosial.
Tegas bekas Perdana Menteri itu, tindakan tidak bertanggungjawab golongan berkenaan hanya akan menyebabkan ramai orang enggan divaksin, sekali gus mendedahkan mereka dijangkiti COVID-19 dan meninggal dunia.
Menurut Dr Mahathir, sekiranya berlaku keengganan ramai rakyat Malaysia tidak mahu mengambil vaksin COVID-19, golongan yang menyebarkan fahaman tidak betul harus bertanggungjawab dan menanggung dosa.
Respons saya terhadap dakyah 'Mak Teh' mengenai vaksin di Whatsapp. pic.twitter.com/RNbJgsh9e4
— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) May 22, 2021
Kenyataan Dr Mahathir itu merujuk pada rakaman audio seorang wanita dikenali sebagai ‘Mak Teh’ yang mendakwa vaksin yang ditawarkan kerajaan berisiko menyebabkan kematian.
Dakwa ‘Mak Teh’, vaksin COVID-19 tidak duji di makmal serta mengandungi racun sehingga menyebabkan 40 jururawat yang mengambilnya terkorban.
“Saya tidak percaya (40 jururawat meninggal dunia kerana vaksin) kerana saya dan isteri sudah disuntik (dengan vaksin)… tak ada ada apa pun.
“Ini satu dakyah yang tiada asas. Ia sebenarnya menghukum mati orang yang tidak dapat vaksin. Mereka yang tidak divaksin akan kena penyakit ini dan mati.
“Kalau mati, Mak Teh lah yang bertanggungjawab. Kalau dosa, dosa Mak Teh lah,” kata Dr Mahathir dalam rakaman video yang dikongsi di akaun media sosial beliau pada Sabtu.
Dalam rakaman audio pekat loghat utara itu juga,Mak Teh mendakwa, berita kematian 40 jururawat dan kakitangan hospital di seluruh Malaysia itu sengaja disembunyi oleh pihak berkuasa.
Belum cukup itu, Mak Teh juga mencadangkan mereka yang sudah menerima dua dos vaksin agar ‘mencuci badan’ dengan minum air kelapa untuk membersihkan ‘racun’ daripada vaksin berkenaan.
“Ayaq nyoq (air kelapa) nak buat apa? Kalau betul pi (pergi) lah sendiri minum ayaq nyoq , lepas tu cium orang yang sakit COVID-19 ini dan tengok nak jadi apa. Bolehkah ayaq nyoq tu bertahan (daripada jangkitan),” bidas Dr Mahathir lagi.
Dr Mahathir turut menyatakan rasa sedihnya dengan penyebaran maklumat palsu berhubung vaksin COVID-19 sejak kebelakangan ini.
Katanya, sikap segelintir pihak yang gemar menyebar berita palsu merupakan perbuatan yang tidak baik dan akan menyebabkan ramai lagi orang akan dijangkiti.
“Apabila mereka mati, itu tanggungan Mak Teh lah, dosa atau tak berdosa,” katanya.