Yong Chee Kong buat U-turn tentang tuduhan DAP yang buat surat tawaran vaksin Covid


(Malaysiakini) – Selepas mendakwa surat kepada kerajaan Pulau Pinang berhubung sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 ditulis oleh DAP negeri bagi pihak dirinya, ahli perniagaan Yong Chee Kong menjelaskan yang surat itu sebenarnya ditulis oleh seorang kakitangan syarikatnya.

Memetik laporan Nanyang Siang Pau, Yong berkata dia mendapati seorang kakitangannya yang menghantar surat itu kepada kerajaan negeri.

Dia meminta maaf kepada kerajaan Pulau Pinang atas salah faham yang timbul.

Dia juga berharap permohonan maaf yang dibuat secara terbuka menerusi laporan berita itu akan meletakkan noktah terhadap perkara itu.

Katanya, tiada keperluan untuk dia membuat sidang media untuk penjelasan lanjut, dan dia dan syarikatnya tidak mahu mempolitikkan atau membesar-besarkan perkara itu.

“Jika kita mendapat surat kelulusan (daripada kerajaan), kita tetap sanggup untuk mendermakan vaksin kepada penduduk Pulau Pinang. Meskipun ia tidak diluluskan, bos saya akan menderma sumber lain bagi membantu orang ramai,” katanya.

Pada 20 Mei lalu, Yong memberitahu media bahawa surat yang mengandungi tandatangannya itu ditulis oleh DAP Pulau Pinang untuk diutus sebagai tawaran rasmi, tetapi malangnya ia mengandungi alamat peribadinya, bukan syarikat.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menafikan yang surat itu ditulis oleh DAP Pulau Pinang. Pihaknya telah membuat laporan polis berhubungnya.

Polis sedang melakukan siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan atau cubaan menipu.

Yong yang kini berada di Sabah, berkata polis Pulau Pinang telah menghubunginya menerusi telefon dan dia telah memberi kerjasama dalam siasatan.

Yong merupakan warga Malaysia yang bekerja untuk Xintai Enterprise Development Ltd – sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong.

Berdasarkan laporan media, dia pada mulanya menawarkan untuk menyumbang vaksin Sinovac kepada kerajaan Sabah, bagaimanapun ia ditolak.

Dia mendakwa kerajaan Pulau Pinang kemudian berhubung dengannya untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

Perkara itu mula diketahui umum selepas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mendakwa tawaran berkenaan ialah satu penipuan.

Ini ekoran satu kesilapan ejaan nama syarikat di dalam surat yang didakwa disediakan oleh DAP Pulau Pinang bagi pihak Yong.

Menurut Malay Mail semalam, Yong berkata tawaran itu tiada kaitan dengan syarikat berkenaan memandangkan dia bertindak atas kapasiti peribadi dan tidak mahu publisiti.

Bagaimanapun, laporan The Star pula memetiknya sebagai berkata, sumbangan itu adalah tawaran yang ikhlas daripada bos syarikatnya yang berpangkalan di Hong Kong.”

 



Comments
Loading...