Mahkamah arah Raja Petra bayar RM600,000 pada Guan Eng


(Malaysiakini) – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan ganti rugi sebanyak RM600,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, dalam kes samannya terhadap penulis blog Raja Petra Kamarudin.

Ia berhubung 10 artikel berkenaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion yang disiarkan Raja Petra (BACA DI BAWAH).

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mohd Arief Emran Arifin turut mengarahkan Raja Petra untuk membayar RM10,000 sebagai ganti rugi kos kepada Lim.

Sebelum ini, Lim dalam saman fitnahnya menuntut ganti rugi sebanyak RM20 juta.

Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Tinggi menetapkan penghakiman ingkar untuk Lim. Berdasarkan undang-undang, plaintif boleh memohon penghakiman ingkar jika defendan gagal menghadiri perbicaraan tindakan sivil, walaupun kertas kausa telah diberikan kepadanya.

Peguam Lim, Simon Murali hari ini mengesahkan jumlah ganti rugi tersebut.

“Defendan diarahkan membayar RM600,000 kepada plaintif sebagai ganti rugi am dan ganti rugi teruk. Defendan juga diarahkan membayar kos RM10,000 kepada plaintif,” katanya ketika dihubungi.

Katanya lagi, mahkamah turut mengarahkan Raja Petra untuk membayar kadar faedah ganti rugi sebanyak lima peratus, bermula tarikh saman difailkan (6 September 2019) sehingga tarikh ia dibayar sepenuhnya.

“Kami sedang menunggu arahan daripada anak guam (Lim),” katanya berhubung tindakan selanjutnya bagi mendapatkan ganti rugi itu daripada Raja Petra.

Saman yang difailkan Lim menamakan Raja Petra sebagai satu-satunya defendan.

Dia memfailkan saman itu susulan siri artikel “Dari Fail SPRM” yang disiarkan di laman Malaysia Today – dalam kedua-dua versi bahasa Melayu dan Inggeris – antara 24 Februari hingga 15 Mac (BACA DI BAWAH).

Artikel itu berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek infrastruktur itu.

Lim kini sedang berdepan pertuduhan rasuah berhubung projek itu. Perbicaraannya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dijadual bermula 8 Jun ini.

1. DARI FAIL SPRM: Guan Eng Telah Menerima Sogokan 10% Tetapi Peguam Negara Telah Mengkuburkan Kes Tersebut

2. DARI FAIL SPRM Siri 2: Bermulanya Projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang Dengan Guan Eng

3. DARI FAIL SPRM Siri 3: Nazri Mainkan Peranan Utama Dalam Projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang

4. DARI FAIL SPRM Siri 4: Orang-Orang Yang Terlibat Dengan Rasuah Terowong Bawah Laut Pulau Pinang

5. DARI FAIL SPRM Siri 5: Zarul Menyogok RM22 Juta Untuk Menutup Kes Rasuah Projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang

6. DARI FAIL SPRM Siri 6: Bila Dan Berapa Jumlah Sogokan Di Bayar Kepada Lim Guan Eng

7. DARI FAIL SPRM Siri 7: Zarul Berkata Dia Juga Membayar Nazri Aziz Sebanyak RM500,000

8. DARI FAIL SPRM Siri 8: Sogokan Sebanyak RM22 Juta Untuk SPRM Berhentikan Penyiasatan Terhadap Kes Projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang

9. DARI FAIL SPRM Siri 9: Guan Eng Kantoi Dia Adalah Shareholder Projek Terowong Bawah Tanah Pulau Pinang

10. DARI FAIL SPRM Siri 10: Maklumat Lengkap Sogokan RM19 Juta Untuk Menutup Siasatan SPRM Mengenai Terowong Dasar Laut Pulau Pinang

 



Comments
Loading...