Mimpi buruk UMNO boleh terjelma


Dr Mohd Azmir Mohd Nizah, Sinar Harian

PERSOALAN penjajaran baharu UMNO pasca-Perhimpunan Agung UMNO 2020 kembali memeriahkan ruang-ruang bicara politik tanah air.

Kontroversi perbualan telefon antara dua pimpinan parti dan terkini kehadiran bersama pemimpin UMNO dan DAP, difahami sebagai bibit-bibit penjajaran baharu yang hampir pasti.

Nampaknya, peningkatan kes Covid-19 tidak mampu meredakan kehangatan rancangan penjajaran baharu politik Malaysia.

Jika dalam soal kes jangkitan Covid-19 yang meningkat, antara lain disebabkan oleh faktor lelah, bosan dan kecewa masyarakat terhadap kesan kurang efektif pelbagai perintah kawalan pergerakan dan persepsi dwistandard elit dan massa, maka persoalan penjajaran baharu politik UMNO juga boleh berada di ambang lelah dan kecewa penyokong dan rakyat marhaen.

Sebenarnya, situasi ini bukanlah satu tekanan ke atas PKR ataupun DAP.

Bagi PKR dan DAP, ketidakstabilan UMNO inilah yang menjadi faktor tambahan bagi parti mengorak langkah lebih besar. Tetapi, ia pastinya adalah mimpi ngeri buat UMNO.

PKR dengan teras perjuangan sosial tersendiri, DAP dengan agenda lama kononnya kesamarataan Malaysia dan UMNO dengan slogan ketuanan Melayunya ibarat ‘minyak dengan air, mana mungkin bersatu’.

Perbezaan ideologi ini sangat kontra antara satu sama lain. Namun, politik adalah seni yang penuh dengan sebarang kemungkinan, seperti kata pepatah, ‘sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang’, rakyat akhirnya yang menanggung derita.

Persoalannya, adakah perancangan ini bakal mendapat dokongan penyokong parti-parti?

Kegagalan memahami kehendak rakyat pasca-PRU14, serta konflik dalam kepimpinan dan kepentingan peribadi terus melemahkan projek mendapatkan semula keyakinan rakyat.

Kewujudan PN yang pada awalnya dilihat mungkin sinar bagi UMNO untuk berada di atas, tidak menjadi nyata kerana persepsi dibuli oleh parti Bersatu. Lalu, tercetuslah seismik di beberapa buah negeri.

Pada permukaannya, ia dilihat sangat menguntungkan UMNO kerana sekurang-kurangnya dapat menjadi kerajaan di beberapa negeri, tetapi ia juga menjadi beban kerana hasrat rakyat masih belum dapat dipenuhi.

Skeptikal

Adakah dengan langkah penjajaran ini mampu meredakan hasrat rakyat, atau sekadar cubaan menulikan desakan rakyat?

Sekiranya UMNO bercadang meneruskan penjajaran baharu, yang kononnya dikatakan bertujuan mengekang rasuah, memisahkan kerajaan dan parti politik, ia adalah sesuatu yang sangat murni, tetapi begitu sinikal.

Ini kerana, UMNO masih lagi gagal menolak pemimpin-pemimpin yang terpalit dengan isu rasuah, tertangguh bayaran cukai dan salah guna kuasa terutama dalam kalangan kluster mahkamah yang masih mempunyai pengaruh besar dalam parti.

Selagi isu ini masih wujud, selagi itulah rakyat mempunyai pandangan skeptikal terhadap UMNO.

Presiden UMNO mesti memastikan ahli yang berjumlah 3.35 juta faham benar apa yang dimaksudkan dengan penjajaran baharu, bukan sekadar dalam lingkaran elit politik dan kumpulan-kumpulan tertentu sahaja.

Ini kerana, dengan revolusi digital, kepesatan media sosial dan peningkatan perbandaran telah mengubah sikap sivik ahli dan juga rakyat marhaen yang apolitikal.

Jika ini gagal dilaksanakan, satu lagi mimpi buruk UMNO boleh terjelma. Rakyat pastinya terus menolak UMNO kerana berasa ia tidak lagi relevan dan hanya berminat dengan kuasa.

UMNO harus faham, zaman dominasi sebuah parti politik telah berlalu. Maka UMNO perlu sensitif terhadap perkembangan ini.

Jika UMNO meletuskan penjajaran baharu ini, adakah UMNO akan menjadi teraju utama? Atau PKR dan DAP jadi rakan kongsi setara?

Pastinya ia sesuatu yang menarik untuk diperhalusi bagi persediaan masa hadapan.

Walau apa pun yang bakal terjadi, ideologi, status quo dan masa hadapan parti adalah faktor yang perlu diberi pertimbangan.

Rakyat marhaen pula kekal memerhati dengan penuh minat dan tekad.

* Dr Mohd Azmir Mohd Nizah ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.



Comments
Loading...