Menteri kewangan jawab Najib, lebih ramai dapat dibantu sekiranya tiada legasi hutang 1MDB


(Malaysia Now) – Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz membidas kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak yang mendakwa negara berhutang dana sebanyak RM115.53 bilion dari Januari sehingga Mei tahun ini.

Zafrul berkata, pinjaman kerajaan setakat April 2021 berjumlah RM81.8 bilion dan setakat bulan Mei adalah sekitar RM99.3 bilion, bukan RM115.53 bilion seperti didakwa Najib.

“Kesemua pinjaman kerajaan adalah berdasarkan perbelanjaan yang diluluskan di Parlimen sewaktu pembentangan Belanjawan 2021,” kata Zafrul dalam sebuah video yang dimuat naik di laman Facebook.⠀

“Kerajaan tidak pernah menggunakan ordinan darurat untuk meningkatkan atau menambah perbelanjaan melebihi had siling yang telah diluluskan oleh Parlimen pada Ogos 2020”.

Zafrul berkata, negara juga masih terbeban dengan hutang legasi peninggalan zaman pemerintahan Najib berjumlah lebih RM40 bilion.

Katanya, RM15.5 bilion hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd sudah dibayar kerajaan setakat ini, tetapi masih ada baki hutang berjumlah lebih RM42.3 bilion.

“Bayangkan, jika jumlah hampir RM58 billion ini dapat digunakan, berapa ramai rakyat yang kita dapat dibantu semasa pandemik ini?

“Bukan nak mengungkit, tetapi isu ini amat relevan dengan isu hutang negara dan kemampuan fiskal kerajaan untuk membantu rakyat,” katanya.

https://www.youtube.com/watch?v=4nOQmOTnoSc

Najib sebelum ini mempersoalkan hak kerajaan untuk meminjam RM 115.53 billion sejak permulaan tahun 2021 hingga 22 Mei.

Najib berkata, pinjaman tersebut digunakan untuk ”berbelanja sesuka hati”, selepas Akta Kewangan yang mengawal dan memantau perbelanjaan kerajaan digantung melalui satu lagi ordinan darurat.

Zafrul turut menjelaskan dakwaan Najib tentang pinjaman kerajaan yang mencecah sehingga RM 115.53 billion adalah salah kerana bekas menteri kewangan itu kerana turut merangkumi pinjaman syarikat berkait kerajaan seperti Petronas dan Khazanah.

“Secara terus terang saya tidak tahu mengapa beliau memasukkan pinjaman yang dibuat oleh Petronas dan Khazanah serta hasil penjualan silterra atau saham telekom sebagai pinjaman kerajaan.

“Pinjaman Petronas dan Khazanah ialah urusan syarikat masing-masing. Mereka meminjam untuk keperluan modal dan aliran syarikat.

“Ini hutang mereka, merekalah yang bertanggungjawab,” katanya.

 



Comments
Loading...