‘Cadangan pilih selain Anwar sebagai PM cubaan pecahkan PH’


(Bernama) – Cadangan menamakan inidividu lain menggantikan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri disifatkan sebagai usaha memecah-belahkan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata tindakan mencurigakan umpama ‘sebelah tangan bersalam dan sebelah tangan lagi memegang pisau’ itu mestilah dijauhkan dalam gabungan berkenaan.

Serentak itu, Ahli Parlimen Johor Bharu itu turut mencadangkan golongan muda AMK yang berpotensi perlu segera dikedepankan terutama dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15 bagi meneruskan kelangsungan perjuangan parti.

“Ini perlu diambil serius oleh kepimpinan parti terutama sekali untuk mendapatkan kembali kerusi-kerusi yang dikhianati dan menawan kerusi yang belum dimenangi.

“Pemilihan calon perlulah lebih ketat, individu yang diragui kesetiaan kepada perjuangan reformasi ini perlulah ditolak sama sekali.

“Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali,” katanya dalam ucapan dasar persidangan tahunan AMK 2020 yang mengambil tema Mendukung Prinsip, Mempertahan Demokrasi diadakan secara maya hari ini.

Akmal turut mencadangkan agar bendera PKR menjadi logo mewakili PH dalam menghadapi PRU yang akan datang sebagai usaha menggembleng kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat.

Dia juga turut menyentuh soal pengurusan impak Covid-19 yang antara lain mencadangkan agar kemudahan moratorium tanpa caj faedah kepada peniaga kecil sekurang-kurangnya untuk tempoh lima bulan, mengembalikan subsidi upah dan kemudahan pinjaman modal serta bantuan 30 sehingga 50 peratus daripada jumlah sewaan tapak perniagaan.

“Menteri juga sepatutnya mempertimbangkan cadangan AMK agar pasukan petugas rentas parti yang turut melibatkan ahli parlimen PH yang sehingga hari ini masih belum terjadi,” katanya.

Persidangan AMK hari ini dijadual melibatkan 14 pembahas yang menyentuh isu kerjasama parti-parti pembangkang, pandemik Covid-19, program vaksinasi kebangsaan, masalah ekonomi anak muda serta pendidikan dalam fasa pengajaran dan pembelajaran di dumah (PdPR).

 



Comments
Loading...