Kempen “Kerajaan Pintu Belakang” sudah tidak relevan


(UTUSAN) – Tafsiran Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung hantaran Facebook Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan ‘tutup pintu depan’ boleh dikatakan terpesong dan semata-mata bertujuan memenuhi agenda tersendiri.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, komen bekas Perdana Menteri itu yang mengaitkan kerajaan pintu belakang adalah tidak lagi relevan kerana apa yang penting kerajaan sekarang telah disokong oleh ahli Parlimen yang yakin akan kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui negara ketika ancaman pandemik Covid-19.

Beliau berkata, apa-apa pun tafsiran yang dibuat terhadap ungkapan itu, jelas mencerminkan kekesalan dan kekecewaan beliau, sekali gus menunjukkan ketidakmatangan sebagai bekas Perdana Menteri.

“Kita tidak harus hairan dengan segala tanggapan dan tafsiran yang dibuat Dr. Mahathir mengenai Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini terutamanya selepas beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri sesudah kejatuhan Pakatan Harapan (PH).

“Dr Mahathir terkenal sebagai pemimpin yang menggunakan logiknya sendiri untuk memenuhi agenda peribadi atau partinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jeniri berkata, ungkapan Ismail Sabri itu adalah berlapik, ada makna dan mesej lain yang cuba dihantarnya.

Katanya, dalam konteks komunikasi politik, ungkapan itu bukan dibuat sesuka hati, apatah lagi apabila kata-kata itu disertakan dengan gambar.

Beliau menjelaskan, seorang pemimpin politik tidak mungkin mengungkapkan sesuatu sesuka hati, malah kadang-kadang mereka menyampaikan mesej atau maksud dengan berpegang kepada peribahasa ‘pukul anak sindir menantu’.

“Rakyat tidak harus ambil serius pandangan beliau yang semakin tidak lagi berjejak, melainkan bersalutkan agenda kekecewaan ekoran kesilapannya sendiri sehingga PH tidak lagi berkuasa.

“Disebabkan itu, beliau berputih mata, dan menuduh kerajaan sedia ada ialah kerajaan pintu belakang. Beliau akan menggunakan segala kesempatan untuk memberi gambaran bahawa kerajaan sekarang ialah kerajaan tidak sah dan tidak mendapat mandat daripada rakyat,” katanya.

Baru-baru ini, Ismail Sabri memuat naik status Facebook berbunyi: “Saya dah tutup pintu depan, tapi…” yang mengundang persepsi banyak pihak.

Mengulas mengenai hantaran itu, Dr. Mahathir dalam sidang akhbar memaklumkan beliau keliru dengan hantaran Ismail Sabri itu dengan berkata: “Saya nak tanya juga, depan ni belakangkah atau belakang ni depan? Yang mana satu? Kerana…tak tahulah ni. Kerana kenyataan mereka ini, mereka daripada pintu belakang. Kalau pintu depan tertutup, pintu belakang masih terbukalah kot?”

“Jadi, kalau terbuka, bolehlah ada rundingan ke apa-apa. Jadi, kita tak boleh nak kira dengan mereka ini kerana mereka tak ikut aturan-aturan,” katanya.

 



Comments
Loading...