Anwar mahu rakyat lantiknya jadi PM walaupun tiada majoriti


(Agenda Daily) – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat menuntut perubahan pentadbiran negara dengan melantiknya menjadi Perdana Menteri (PM) baharu bagi mengantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dakwa Presiden PKR itu, negara perlu melantik PM baharu yang lebih layak dan umum mengetahui Anwar sememangnya bercita-cita besar mahu menjadi pemimpin nombor satu negara walaupun tidak memiliki majoriti di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Anwar juga pernah mendakwa dirinya memiliki majoriti susulan sepucuk surat sokongan yang ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dihantar ke Istana Negara.

Anwar juga dalam dua sidang media tahun lalu beria-ria mendakwa memiliki majoriti kukuh untuk dilantik menjadi PM sebelum memalukan dirinya sendiri selepas gagal menunjukkan bukti sokongan dimiliknya.

Desakan demi desakan dilakukan Anwar sehingga Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberinya peluang untuk mengadap pada 13 Oktober tahun lalu, namun beliau gagal juga selepas gagal menunjukkan sokongan yang didakwa dimilikinya.

Hari ini, Anwar semasa memberikan amanat khasnya juga menyuarakan cadangan sama dan meminta parti pembangkang untuk bersatu hati menyokongnya sebagai PM yang baharu.

“Kita perlu ada kesepakatan dalam semua aspek (parti pembangkang) kerana kita lihat ada kesenjangan yang nyata dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

“Negara tak boleh terhoyong-hayang, kita kena tegas dan tak boleh bertolak ansur. Perdana Menteri dan kerajaan bersilih ganti tetapi kita masih terpalit dengan isu mengumpul khazanah, mengumpul kekayaan untuk keluarga itu keluarga ini,” katanya semasa disiar secara maya.

Anwar juga menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap pentadbiran kerajaan yang disifatkannya sebagai ‘kerajaan samseng’ susulan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menasihati agar Kongres PKR ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Rakyat yang mengikuti perkembangan politik negara ini pasti mengetahui Anwar cuba menjadi PM sejak sekian lama.

Dalam pada itu penganalisis politik berpandangan sehingga hari ini Anwar masih menaruh harapan tinggi untuk menjadi PM.

Malah, Pakatan Harapan (PH) turut menamakan Anwar sebagai calon PM pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

 



Comments
Loading...