Agong tanya bila waktu sesuai buat PRU-15, lepas 80 peratus rakyat divaksin, jawab Tun M


Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan dalam sesi sembah maklum yang berlangsung di Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertanya waktu sesuai bagi negara mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut bekas Perdana Menteri itu, Yang di-Pertuan Agong ada membangkitkan persoalan adakah dengan mengadakan PRU-15 krisis yang dihadapi negara ini akan selesai?

Dr Mahathir bagaimanapun menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bahawa pilihan raya adalah paling tidak wajar dilakukan dalam tempoh terdekat ini kerana ia bakal mencetuskan pandemik Covid-19 yang lebih buruk dan mengancam nyawa rakyat seperti yang telah terjadi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Yang di-Pertuan Agong ada bertanya kepada saya, sama ada pilihan raya boleh diadakan? Tahun depan atau pada bila-bila masa? Saya maklumkan kepada baginda bahawa pilihan raya akan membahayakan sebab kita dah lihat apa yang jadi di Sabah.

“Kalau buat pilihan raya umum, akan cetuskan gelombang baru Covid-19,” beritahu Dr Mahathir dalam sesi Zoom bersama media, petang tadi.

Hal demikian Ahli Parlimen Langkawi itu memberitahu, waktu terbaik untuk Malaysia mengadakan PRU-15 adalah apabila negara telah mecapai imuniti kelompok yakni 80 peratus rakyat telah divaksin.

“Tunggu 80 peratus rakyat sudah divaksin baru boleh buat pilihan raya, jangan ulang tragedi PRN Sabah,” tegas beliau.

 



Comments
Loading...