Jemaah menteri akan nasihat Agong mengenai lanjutan darurat, kata Takiyuddin


(FMT) – Jemaah menteri bertanggungjawab menasihatkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sama ada darurat perlu dilanjutkan atau tidak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), Takiyuddin Hassan.

Katanya, baginda bertindak atas nasihat Kabinet mengikut Perlembagaan Persekutuan ketika darurat diisytiharkan pada bulan Januari bagi menangani Covid-19.

“Pejabat ini merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan oleh media sebagai berkata bahawa sekiranya Proklamasi Darurat yang kini berkuat kuasa diangkat, maka tiada apa-apa yang dapat menghalang sebarang Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri yang sebelum ini tertangguh daripada diadakan,” kata kenyataan itu.

Susulan itu, katanya, kini hanya Agong yang mempunyai budi bicara sama ada keadaan darurat yang dijadualkan berakhir pada 1 Ogos 2021 perlu diteruskan atau tidak.

“Sebagaimana dimaklumi bahawa Proklamasi Darurat yang telah diisytiharkan pada 11 Januari 2021 oleh Agong yang bertindak di atas nasihat jemaah menteri selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah atas asas tanggungjawab utama dan khusus Kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 bagi memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat di dalam negara ini dapat terus dipelihara.

“Oleh yang demikian, persoalan sama ada darurat yang akan tamat pada tarikh tersebut diteruskan atau tidak atas budi bicara Agong seperti dibangkitkan tidak seharusnya timbul,” katanya.

Noor Hisham dipetik dalam laporan Malay Mail semalam sebagai berkata bahawa setelah darurat ditamatkan, tiada apa-apa yang akan dapat menghalang tiga pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak.

Jelas Takiyuddin, selaras dengan tanggungjawab serta teras dasar kerajaan untuk terus memfokuskan kepada tindakan-tindakan yang khusus dan tepat bagi mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dengan lebih efektif, maka adalah menjadi tanggungjawab jemaah menteri untuk terus menasihati Agong selaku ketua negara dalam membuat keputusan mengenai darurat.

“Ia setelah mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara.

“Kerajaan memberi jaminan bahawa kesemua mekanisme yang wujud di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara akan diikuti di dalam membuat apa-apa keputusan mengenai darurat,” katanya.

 



Comments
Loading...