DAP mungkin keluar PH jika UMNO masuk, kata penganalisis
(Agenda Daily) – Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir tidak menolak kemungkinan DAP akan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) sekiranya UMNO menyertai kerjasama politik bersama gabungan itu.
“Perkara itu tidak mustahil akan terjadi, kerana dalam politik sebarang kebarangkalian boleh berlaku, keluar masuk kerjasama ini biasalah dalam politik,” katanya kepada Agenda Daily.
Namun, katanya jika DAP menerima kerjasama itu ia akan mendatangkan masalah pula kepada parti majoriti Cina itu.
“Agak susah jika DAP bergerak sendiri, DAP masih dilihat parti Cina sejati. Jika berseorangan DAP hanya akan dapat sokongan orang Cina dan sebahagian kecil Melayu dan India,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berkata, DAP bagaikan menolak tuah sekiranya tidak ‘meraikan’ kerjasama politik dengan UMNO seperti mana yang dicadangkan oleh pucuk pimpinan PKR ketika ini.
Katanya, dalam keadaan sekarang adalah lebih baik parti itu bekerjasama dengan UMNO.
“Ini kalau kita tengok dalam konteks sekarang barangkali masih diperingkat usahalah… Tetapi kalau begitu tindakan DAP (tolak kerjasama) akan merugikan mereka sedirilah kerana dalam keadaan sekarang barangkali yang terbaik untuk DAP dan juga Pakatan Harapan (PH) adalah bergabung dengan UMNO,” katanya kepada Agenda Daily hari ini.
Beliau mengulas sama ada DAP akan bertindak keluar daripada Pakatan Harapan (PH) sekiranya Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu meneruskan kerjasama dengan UMNO.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata sekiranya kerjasama UMNO-DAP direalisasikan hanya satu kekangan yang dihadapi mereka iaitu penerimaan akar umbi.
“Itulah bercakap mengenai penerimaan akar umbi itu yang bermasalah, bukan dalam DAP sahajalah malah kalau tengok UMNO sendiri katalah contoh jadi kerjasama ini, pada peringkat kepimpinan tiada masalah tetapi akar umbi saya rasa sukar untuk diterima baik daripada UMNO mahupun DAP,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, PH tidak terlibat dalam perbincangan mengenai kerjasama politik antara DAP, PKR, Amanah dan UMNO di bawah satu ‘khemah besar’.
Beliau berkata, perkara itu tidak pernah dibincang dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH sekali gus DAP tiada ketetapan mengenai perkara itu.
“Itu pendirian PKR dalam PH,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak menolak kemungkinan kerjasama PH dengan UMNO menerusi gagasan ‘khemah besar’.
Manakala, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid pula berkata DAP perlu memahami kedanamikan politik semasa, dan masanya telah tiba untuk parti itu menjalin kerjasama dengan UMNO sekiranya mahu menewaskan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).