Biro Politik UMNO Putus Keluar Kerajaan 4 Julai 2021
(Suara TV) – Biro Politik UMNO yang mengadakan mesyuarat sebentar tadi membuat keputusan akan menarik diri dari kerajaan sekiranya Persidangan Parlimen tidak dipanggil oleh Perdana Menteri dalam masa 14 hari.
Dalam masa yang sama biro politik yang dipengerusi oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi juga memutuskan darurat mesti ditamatkan pada 1 Ogos 2021 nanti.
Walaupun terdapat perubahan dan penafian mengenai mesyuarat biro politik malam ini, namun salah seorang pemimpin UMNO mengesahkan berlaku mesyuarat secara maya. Pemimpin tersebut juga mengesahkan notis mesyuarat bertukar sebanyak tiga kali.
“Notis pertama menjemput mesyuarat secara bersemuka pada jam 3 petang, tetapi kemudian ditukar kepada 8 malam. Akhirnya notis ketiga memaklumkan mesyuarat secara maya sahaja.”
Sementara itu seorang pemimpin kanan UMNO menyatakan walaupun keputusan malam ini sebulat suara namun ia bukan keputusan rasmi parti.
“Hanya ada dua entiti boleh membuat keputusan parti iaitu Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO. Dalam konteks ini keputusan biro politik perlu dibawa kepada MKT UMNO terlebih dahulu.”
Ditanya sama ada MKT UMNO akan menyokong pendirian ini, pemimpin kanan tersebut menjawab, “Kita tunggu dan lihat. Berbanding biro politik yang dipenuhi orang Presiden, MKT mungkin mempunyai pandangan berbeza.”