Jajaran baharu UMNO bersama Anwar, DAP perlu dimuktamad di Parlimen


Agenda Daily) – UMNO perlu memuktamadkan kerjasama jajaran baharu bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP semasa sidang Parlimen yang akan dibuka nanti, kata Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman.

Ahmad Tajuddin berkata hanya dengan keputusan dalam Dewan Rakyat akan mengabsahkan kerjasama tersebut dan bukan dengan menggunakan Akuan Berkanun (SD) yang boleh dipertikaikan.

“Keputusan dalam Dewan Rakyat dan Parlimen, muktamad, berwibawa, legitimate. Sebarang keputusan di luar dewan dalam bentuk Akuan Bersumpah (SD) dan sebagainya boleh dipertikaikan pada bila-bila masa menjadikan keputusan itu tidak muktamad,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Menurutnya, langkah tersebut selari dengan prinsip demokrasi berperlembagaan yang menjadi asas negara dan sebarang keputusan luar Dewan Rakyat dianggap tidak demokratik.

“Pengiktirafan dunia terhadap kerajaan adalah juga bergantung kepada amalan demokrasi yang bertunjangkan semua keputusan di dalam Dewan Rakyat.

“Sebarang keputusan di luar dewan juga dianggap tidak demokratik dan kesan langsungnya negara-negara dunia yang beramalkan dengan amalan demokrasi akan mengetepikan Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan menyatakan pendirian tegas parti mendesak kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Bagaimanapun, beliau berkata Zahid perlu tegas kekal dengan apa juga keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bukan dasar seperti mana keputusan yang dibuat oleh PAU.

“Institusi presiden bermaksud, presiden tegas dan kekal dengan ideologi parti. Presiden juga perlu tegas kekal dengan apa juga keputusan Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.

Untuk rekod, semasa PAU 2020 lalu, Zahid berkata pendirian UMNO menolak Anwar, DAP dan kerjasama dengan Bersatu akan ditamatkan pada 1 Ogos nanti sebaik berakhir proklamasi Darurat.

 



Comments
Loading...