Nazri bidas Zahid jangan memandai-mandai buat keputusan bersendirian


(Agenda Daily) – Pemimpin senior parti, Datuk Seri Nazri Aziz membidas Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak memandai-mandai membuat keputusan bersendirian tanpa berbincang terlebih dahulu berhubung tempoh 14 hari yang diberikan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membuka sidang Parlimen.

Nazri berkata Zahid sekali lagi membuat keputusan tanpa merujuk kepada Ahli Parlimen UMNO apabila membuat desakan tempoh 14 hari terhadap kerajaan yang disifatkannya adalah sama sekali tidak wajar.

“Saya tengok Zahid tak panggil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), dia sendiri sahaja tak bincang dengan kita.

“Ini tak betul 14 hari tak boleh berlaku memang satu desakan yang tak boleh berlaku ingat panggil lah Ahli-Ahli Parlimen jangan pandai-pandai sendiri sahaja,” katanya kepada Agenda Daily hari ini.

Nazri yang juga bekas Ahli Tertinggi UMNO itu berkata desakan Zahid itu juga sama sekali tidak masuk akal dan tempoh itu tidak menepati tatacara sidang Parlimen yang memerlukan lebih masa untuk dibuka persidangannya.

“Ia macam mana dalam masa 14 hari pula, hendak beri notis kepada Ahli-Ahli Parlimen pun memerlukan 28 hari, dalam 14 hari itu memang tidak boleh buat lah, sebab hendak panggil mereka bersidang kita kena beri notis dahulu.

“Memang tak ikut prosedur Parlimen lah kalau macam itu, saya punya pandangan ini memang tak boleh berlaku,” katanya kepada Agenda Daily.

Beliau yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Undang-Undang dalam menjaga Parlimen sebelum ini juga menyifatkan keputusan yang dibuat oleh Zahid itu tidak wajar dan membelakangi proses undang-undang yang ditetapkan dalam Perlembagaan negara.

Zahid dalam kenyataannya hari ini berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.

“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya,” kata Zahid.

Beliau berkata amat mustahak untuk Parlimen bersidang segera bagi membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani pandemik Covid-19.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah agar sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Dalam satu kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata keputusan yang diperkenan oleh Baginda selepas memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan.

 



Comments
Loading...