Zahid senada dengan pembangkang, beri tempoh 14 hari buka Parlimen


(Agenda Daily) – Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menjalankan sidang Parlimen dalam masa 14 hari bermula daripada tarikh hari ini, sepertimana yang dititahkan oleh Tuanku supaya Parlimen dibuka segera.

Jelasnya, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.

“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini,

Beliau berkata amat mustahak untuk Parlimen bersidang segera bagi membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani pandemik Covid-19.

“UMNO menyokong penuh kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

“Justeru, tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media perihal Sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah,” katanya.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Titah Yang di-Pertuan Agong adalah selari dengan komitmen yang diberikan kerajaan untuk membuka sidang Parlimen dengan secepat mungkin sebelum ini.

Katanya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya sudah pun bercadang untuk membuka sidang Parlimen dan isu tersebut tidak wajar dipolemikkan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah agar sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Dalam satu kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata keputusan yang diperkenan oleh Baginda selepas memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan.

 



Comments
Loading...