Zahid jadi beban, pilih pemimpin baharu jika UMNO mahu berubah, kata penganalisis


(Utusan) – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sudah menjadi beban dan tidak lagi relevan mengepalai sebuah parti besar seperti UMNO.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, UMNO sepatutnya perlu mempunyai hala tuju yang jelas menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sama ada mahu memperbaiki semula keyakinan rakyat atau mahu terus mempertahan pemimpin tertentu.

Menurut beliau, UMNO juga perlu mempunyai barisan kepemimpinan yang jelas iaitu tidak ada mana-mana pemimpin terpalit dengan isu skandal rasuah sekali gus boleh menjejaskan imej parti keseluruhannya di mata rakyat bahawa parti itu sendiri bermasalah.

“Apabila sudah ada pemimpin sedemikian dan pemimpin itu pula pemimpin tertinggi dalam parti, secara tidak langsung rakyat melihat parti itu sendiri sebenarnya banyak masalah berdasarkan ketidaksediaan pemimpin lain untuk menukar ketuanya.

“Perkara itu penting, kalau ketuanya ada masalah seperti sedemikian, maka rakyat pun meletakkan satu ketidakyakinan kepada parti itu. Jadi dalam masa dua tahun yang ada ini sebelum PRU akan datang, UMNO perlu buat sesuatu supaya sokongan rakyat kepada UMNO itu akan kembali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamaie berkata, berdasarkan pengalamannya berhubung budaya politik Malaysia terutama melibatkan sejarah kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU lepas, pilihan raya kecil berikutnya pengundi akan menyokong balik kepada BN.

Justeru, katanya, kalau peluang itu tidak diambil UMNO untuk memperbaiki diri dalam waktu terdekat, ia boleh mendatangkan masalah untuk menghadapi PRU akan datang kerana rakyat sedang menunggu apa tindakan UMNO untuk mengembalikan keyakinan pengundi.

“Adalah suatu yang tidak tidak masuk akal kalau masih nak pertahankan pemimpin seperti itu. Saya tidak kata Ahmad Zahid tidak ada karisma tetapi disebabkan masalah-masalah seperti itu UMNO perlu cari satu penyelesaian cepat supaya keyakinan rakyat untuk mengundi balik kepada BN itu sangat besar,” katanya.

Dalam hal itu, beliau berkata, ahli-ahli akar umbi dilihat mahu menggantikan kepimpinan sedia ada dan Ahmad Zahid dipercayai tidak lagi akan kekal memegang jawatan itu.

Katanya, walaupun ketika ini ramai pemimpin dan sebahagian besar Majlis Tertinggi (MT) dilihat condong kepada Ahmad Zahid kerana masih lagi berkuasa sebagai Presiden, namun jika dibuat pemilihan, peluang beliau untuk menang amat tipis berdasarkan keadaan semasa apabila lebih ramai ahli akan diberi ruang untuk memilih.

“UMNO perlu buat sesuatu dengan cepat supaya keyakinan rakyat untuk mengundi balik UMNO atau gabungan bersama UMNO sama ada Muafakat Nasional (MN) atau BN dalam PRU-15 akan jadi kenyataan.

“Jadi peluang yang ada ini mereka kena cepat sambut. Kalau mereka tidak mahu sambut dengan meletakkan masalah kepada kepimpinan yang ada dalam UMNO itu, bagaimana rakyat nak buat pilihan dan memberikan kepercayaan semula kepada gabungan UMNO dan rakan-rakan MN dan BN,” katanya.

 



Comments
Loading...