Fungsi paru-paru tinggal 48%, bekas pesakit Covid-19 kongsi pengalaman dijangkiti


(Bernama) – Akibat virus Covid-19, separuh daripada paru-paru Amira Ruslan kini sudah tidak boleh berfungsi, malah keadaan itu dijangka kekal buat selamanya, hampir mustahil untuk pulih.

Itu kesan yang perlu dihadapi Amira, yang sebelum ini terpaksa bertarung nyawa sebagai pesakit Covid-19 tahap lima selama 33 hari, termasuk sembilan hari “ditidurkan” di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh.

Eksekutif pentadbiran berusia 29 tahun itu disahkan positif Covid-19 pada 7 Jan lalu.

“Paru-paru saya sekarang berfungsi (sekitar) 48% sahaja, kira macam separuh daripada paru-paru tu macam dah ‘mati’. Menurut doktor, ia sudah tidak boleh kembali normal dan saya juga tidak boleh bergerak cergas macam dulu.

“Ini adalah sindrom ‘Long Covid’ yang memberi kesan pada rutin harian saya. Bercakap pun rasa penat, buat aktiviti mudah macam jemur kain pun penat,” katanya baru-baru ini.

Amira yang tidak pernah menghidap sebarang penyakit serius, tidak menyangka virus pembunuh yang dikatakan hanya cerita dongeng oleh segelintir pihak, meninggalkan impak begitu besar, menyebabkannya terpaksa berulang alik ke hospital bagi menjalani rawatan fisioterapi pernafasan.

Bukan itu sahaja, katanya, beliau masih merasa sakit pada saluran kerongkong dan dada, akibat pernah dimasukkan tiub ke paru-paru semasa di ICU, selain daya ingatan yang lemah kesan daripada ubat.

“Saya masih terbayang lagi kesakitan apabila tiub dimasukkan menerusi saluran kerongkong ke paru-paru.

“Ada satu kejadian apabila petugas kesihatan perlu mengalihkan saya ke katil lain dan tiub tersebut berganjak dan bergerak dalam badan, sakitnya seperti ‘minta nyawa’,” katanya.

Mengimbau kembali saat sebelum dikomakan, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, beliau diberi peluang untuk bercakap dengan ibunya menerusi panggilan video.

“Doktor beritahu, jika jadi apa-apa pada saya, inilah yang terakhir saya bercakap dengan ibu. Saya sempat mohon maaf dan ibu saya terus menjerit, adik (nama panggilan Amira) kena kuat, mak tunggu adik di luar ni.

“Ketika itu ada dua perkara yang bermain di fikiran, pertama ibu, yang kedua ketika saya bangun nanti, sama ada masih berada di dunia ini atau dunia lain,” katanya yang sedar daripada koma sepenuhnya pada 28 Jan lalu.

Pengalaman berada dalam keadaan koma selama sembilan hari memberi pengajaran serta keinsafan buat dirinya.

Peluang untuk terus hidup disifatkannya seperti “keajaiban” selepas melalui fasa kritikal sewaktu dalam keadaan koma.

“Memang tidur, tapi mimpi di alam lain, berjalan di satu tempat asing yang mana badan kita sahaja yang bercahaya, kiri kanan depan belakang semua gelap, berada di jalan asing dan saya terus-menerus cari jalan keluar dan kadang-kadang berlari,” katanya.

Katanya, mengikut cerita keluarganya, semasa berada dalam keadaan koma, paras oksigen dalam badannya turun sehingga tahap 60%, menyebabkan doktor yang merawatnya menghubungi ibunya bagi memaklumkan keadaan itu dan meminta supaya berdoa agar berlaku keajaiban dengan izin Allah.

Berkat doa ibu dan ahli keluarganya yang lain, anak kelahiran Johor itu bersyukur kerana masih diberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan bersama insan tersayang walaupun perlu menyesuaikan dengan keadaan kesihatan terkini.

Katanya, jika dahulu beliau aktif berniaga, bergerak ke sana sini, dan mampu mengangkat barang berat, namun kini segala pergerakannya terbatas.

Berikutan itu, Amira menasihatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dan tidak lalai untuk mengelak dijangkiti wabak yang telah meragut jutaan nyawa di seluruh dunia ketika ini.

“Covid-19 benar-benar wujud dan daripada apa yang saya lihat kesan kepada setiap individu tidak sama dan tidak boleh dijangka,” katanya yang turut menasihatkan masyarakat segera mengambil vaksin.

 



Comments
Loading...