Kegelojohan pemimpin UMNO boleh huru-harakan politik negara
(Edisi 9) – NEGARA kini berhadapan dengan Covid-19, ketika Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang bertungkus lumus menguruskan pandemik tersebut, kini tersebar pula gerakan untuk menjatuhkan kerajaan yang didalangi oleh beberapa pemimpin UMNO.
Malah ia dikaitkan dengan usaha untuk mewujudkan jajaran baharu politik yang dikatakan akan melibatkan PKR dan DAP.
Penulis tidak pasti sejauh manakah gerakan itu akan berjaya tetapi setakat ini 35 ahli Parlimen UMNO dikatakan menolak perancangan pucuk pimpinan parti itu untuk keluar daripada Kerajaan PN.
Mungkin ada yang berkata, mereka ini sudah selesa dengan kedudukan apatah lagi kalau mereka menjadi menteri dan timbalan menteri serta memegang jawatan dalam GLC, tetapi hakikatnya tindakan mereka adalah wajar.
Ia memandangkan negara sudah tidak mampu lagi berhadapan dengan satu lagi konflik politik. Cukuplah sejak PRU-15 2018, negara ini tidak habis-habis menyaksikan pelbagai adegan politik yang merimaskan.
Kalau kita tidak ada masalah lain, mungkin apa juga gerakan politik boleh dipertimbangkan tetapi sekarang kita berhadapan dengan pandemik Covid-19, satu perkara yang selama ini tidak pernah dialami dalam sejarah pentadbiran negara.
Oleh itu kenapakah ada pemimpin-pemimpin UMNO yang kelam kabut sangat hendak menjatuhkan kerajaan ketika ini, apakah benar agenda itu untuk rakyat atau ada agenda peribadi? Kenapa tidak bersabar sehingga pandemik Covid-19 selesai?
Mereka yang melakukan gerakan ini boleh berhujah apa sahaja dan memberikan apa juga alasan untuk ‘menghalalkan’ agenda politik mereka, tetapi yang akan menanggung akibatnya ialah rakyat.
Kenapa mahu menyeret rakyat dalam kancah pergelutan politik kekuasaan ketika mereka tengah susah. Pandemik Covid-19 benar-benar mengganggu rakyat, ramai yang hilang pendapatan dan mata pencarian.
Dan pada masa sama kerajaan sejak awal pandemik lagi menyusun pelbagai pakej dan program bagi membantu rakyat serta memulihkan ekonomi negara, jadi kenapa ada ahli politik yang boleh dianggap ‘berakal pendek’ mahu melaksanakan agenda politik mereka?
Dalam soal UMNO, parti itu sudah membuat keputusan untuk terus berada dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan, jadi tunggu sahajalah, kenapa kelam kabut atau gelojoh sangat hendak menjatuhkan kerajaan ketika ini?
Penulis tahu ada antara pemimpin UMNO begitu teruja mahu mewujudkan jajaran baharu dengan bekerjasama politik dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR dan mungkin juga DAP memandangkan mustahil PKR akan meninggalkan DAP.
Ia bermakna kalau PKR mahu bekerjasama dengan UMNO maka mereka juga harus merangkul bersama DAP, tetapi kalau ada kalangan pemimpin UMNO selesa dengan jajaran seumpama itu, silakan sahaja, tetapi bukan sekarang.
Bukan ketika negara sedang berperang dengan Covid-19, bukan ketika rakyat sedang berhadapan dengan kesusahan. Apa jaminan bahawa tindakan menjatuhkan kerajaan sekarang akan menjadikan keadaan lebih baik?
Apakah ‘malam ini kita tubuh kerajaan baharu, esok pagi kes Covid-19 terhapus dari bumi Malaysia?”? Apa akan jadi kepada segala perancangan yang dilakukan oleh kerajaan sejak setahun lalu dalam menguruskan pandemik tersebut termasuk dari segi pakej dan program membantu rakyat? Apakah semuanya akan dirombak semula?
Sudah pasti mereka yang baharu memimpin tidak akan menggunakan segala apa yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum ini, justeru apa akan berlaku kepada negara? Tidakkah ia akan menyebabkan keadaan negara akan menjadi huru-hara?
Oleh itu tolonglah henti ‘kerja-kerja politik tidak cerdik’ ketika ini. Boleh sahaja kata rakyat tidak suka atau menolak kerajaan sekarang, jadi kena perubahan, tak apalah mahu berhujah demikian tetapi tunggulah PRU-15 untuk membuat perubahan.
Bersabarlah sehingga pandemik Covid-19, selepas itu bertarung dalam pilihan raya. Tidak keterlaluan kalau dikatakan mereka yang berhasrat untuk menjatuhkan kerajaan ketika ini sebenarnya sudah ‘dibutakan hati dan mata’ bagi menentukan yang mana betul, yang mana salah.
Kalau mereka berfikir dengan hati yang jernih, tiada apa-apa agenda peribadi, mereka akan bersedia menanti sehingga PRU-15 bagi melunaskan agenda politik mereka. Lagipun kerajaan pun sudah menyatakan bukan kata sidang Parlimen, pilihan raya pun boleh dilaksanakan apabila pandemik Covid-19 selesai.
Percayalah kalau semua berjalan lancar, mungkin September ini atau paling lewat pun hujung tahun, kita sudah dapat bebas daripada Covid-19. Ketika itu penulis yakin kerajaan pasti mempetimbangkan untuk mengadakan pilihan raya dan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.
Lagipun yang dok kelam kabut atau gelojoh hendak menjatuhkan kerajaan ini, adakah mereka mempunyai majoriti? Adakah mereka mempunyai jumlah yang mencukupi? Kalaupun nak melantik Perdana Menteri interim, adakah wajar tindakan itu sedangkan kerajaan sedia ada sedang berfungsi dengan baik.
Memanglah ada sedikit sebanyak kelemahan, tetapi adakah yang beria-ia sangat nak jadi Perdana Menteri atau kerajaan baharu itu ada pengalaman menangani pandemik luar biasa ini? Khabarnya ada dalam kalangan merekapun tak yakin dan tak mahu jatuhkan kerajaan sekarang? Siapa mereka…tunggulah…kita cakap kemudian.
Betul pandemik Covid-19 itu luar biasa tetapi kalau semua termasuk parti-parti pembangkang atau pemimpin parti dalam kerajaan berjiwa pembangkang bersatu dan bekerjasama dengan kerajaan sudah pasti kita dapat mengatasinya.