Kesihatan PM makin baik, masih dirawat di hospital
(Astro Awani) – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berada dalam keadaan stabil dan bertambah baik selepas dimasukkan ke hospital pada 30 Jun lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan hasil pemeriksaan pihak hospital mendapati tiada bukti menunjukkan masalah tumor lama dialami beliau berulang.
“Selepas menjalani pemeriksaan kesihatan yang rapi, didapati tiada bukti menunjukkan masalah tumor lama yang berulang,” tulis kenyataan itu.
Muhyiddin bagaimanapun masih menerima rawatan antibiotik intravena dan hanya akan dibenarkan keluar dalam tempoh beberapa hari lagi.
Beliau turut dibenarkan bertugas sambil menerima rawatan susulan tahap kesihatannya yang kini beransur pulih.
Muhyiddin dalam pada itu menzahirkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesihatan beliau.
Pada 30 Jun lalu, Muhyiddin dimasukkan ke sebuah hospital di ibu negara untuk menerima rawatan serta pemantauan selepas mengalami diarea.