Kerjasama PKR-UMNO boleh tapi tidak jawatan PM, kata PKR kepada Zahid


(Agenda Daily) – PKR menafikan jawatan Perdana Menteri (PM) akan diberikan kepada UMNO sekiranya jajaran baharu dibentuk, ia selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan memberitahu Ahli Majlis Tertinggi (MT) akan diberikan jawatan nombor satu kerajaan itu.

Bagaimanapun, PKR mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO dalam jajaran baharu yang sedang dirancang atas alasan untuk menyelamatkan negara, kata Ketua Whip Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Johari Abdul yang juga mendakwa Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memiliki sokongan 90 Ahli Parlimen (MP).

“Pada saat ini, Anwar sudah jelas memiliki sokongan lebih 90 Ahli Parlimen yang membentuk PH (Pakatan Harapan) berbanding UMNO yang sekadar memiliki bilangan 38 kerusi.

“Sudah tentu, kalau dilihat dari segi jumlah kerusi Parlimen, Presiden PKR itu memiliki kelebihan dilantik sebagai PM baharu oleh Seri Paduka Baginda berbanding yang lain,” kata lapor sebuah portal.

Awal hari ini, Agenda Daily melaporkan Utusan Online mendakwa Zahid memberitahu Ahli-Ahli MT bahawa UMNO akan diberi jawatan PM dalam jajaran baharu disertainya.

Portal tersebut berkata keyakinan itu dinyatakan semasa pertemuan dengan ahli MT, ia selepas spekulasi Zahid dikatakan sedang cuba membawa UMNO untuk menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Mungkin sebab itu, majoriti ahli MT memberi sokongan kepada Ahmad Zahid untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN,” kata sumber itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin juga teruja sekiranya dapat membentuk jajaran baharu dengan UMNO kerana mempunyai persefahaman antara satu sama lain.

“PH (Pakatan Harapan), BN (Barisan Nasional) dan UMNO akan dapat membentuk kerajaan bersama berasaskan persefahaman satu matlamat dan objektif yang perlu dicapai,” ujarnya.

Sebelum ini, seorang ahli MT, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa Zahid menukar sokongannya kepada Anwar selepas gagal menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan PN.

Terdahulu, Zahid menerusi kenyataan Biro Politik UMNO selepas bermesyuarat pada 21 Jun lalu mengeluarkan satu kenyataan memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan PN untuk memanggil sidang Parlimen atau berdepan tindakan tegas daripada parti tersebut.

Tempoh tersebut akan berakhir pada 7 Julai ini dan spekulasi mengatakan Zahid merancang untuk mendesak Menteri dan Ahli Parlimen UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan meletakan jawatan mereka serta-merta.

Sebelum ini, Zahid dikatakan akan bekerjasama dengan Anwar untuk membentuk kerajaan bersama DAP dalam rakaman perbualan antara keduanya yang viral.

Walaupun menafikannya, Zahid dan Presiden PKR itu sama-sama tidak membuat laporan polis mengenainya.

 



Comments
Loading...