Pihak cari SD nak tumbang kerajaan sama bahaya dengan Covid-19: Hadi
(Agenda Daily) – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan individu gila kuasa yang mencari akuan sumpah (SD) dan berusaha menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam pelbagai cara sekarang ini, sama bahayanya dengan penularan pandemik Covid-19.
Tanpa mengaitkan dengan mana-mana individu atau parti, beliau berkata pihak berkaitan melakukan pelbagai pendekatan termasuk mendapatkan SD Ahli Parlimen, mengemukakan undi percaya dan undi tidak percaya.
“Pandemik politiking gila untuk berkuasa semula masih menjalar penularan wabaknya, sehingga tidak mempedulikan wabak Covid-19 yang mengancam nyawa rakyat.
“Setelah mereka gagal melalui pendekatan meniru langkah Perikatan Nasional (PN, mengambil akuan sumpah (SD) Ahli Parlimen, mereka mengemukakan undi percaya dan undi tidak percaya yang gagal juga, di samping berusaha menubuhkan jajaran baharu, sehinggalah terkini mengheret semua pihak berpolitiking.
“Raja-Raja Melayu sepatutnya tidak diheret berpolitiking kerana Baginda masih banyak tugas-tugas yang lebih penting daripada melayan kehendak mereka yang berpenyakit politiking itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Agenda Daily sebelum ini melaporkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini giat mendapatkan SD Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Presiden PKR itu menjadi Perdana Menteri (PM), menerusi jajaran baharu politik UMNO-PKR-DAP-AMANAH.
Malah semalam, Ahli Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris tampil membuat pengakuan terbuka menandatangani SD menamakan Anwar sebagai PM baharu dengan alasan ingin mencuba kerajaan baharu yang mungkin lebih baik daripada PN.
Sebelum ini bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim juga mendedahkan seorang Ahli Parlimen UMNO dari Pahang menandatangani SD itu pada 7 Jun lalu di hadapan Anwar dan Zahid serta seorang individu kenamaan.
Mengulas lanjut, Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata wabak politiking yang dialami agak berbeza, tetapi virusnya merebak dengan sangat meluas, bermula apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi pilihan raya dengan janji dan manifesto yang sebahagian besarnya adalah bohong dan menipu, tumbang.
Beliau berkata kerajaan PH mendapat dukungan media sosial upahan tanpa sempadan yang menyebarkan pelbagai penipuan, berita palsu dan sebagainya sehingga berjaya mencapai kemenangan dan menubuhkan kerajaan yang membawa pendekatan liberal dan tidak sesuai dengan masyarakat negara ini.
“Kemuncaknya, mereka berani mencabar kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan dan kedudukan Raja-Raja juga dicaabar. Komunis yang ganas dan lebih ganas daripada penjajah pula disanjung oleh mereka. Begitu juga kalangan puak LGBT dan seumpamanya mula bebas menuntut hak dan ada pula kelompok dalam kerajaan PH yang mendukungnya.
“Akhirnya, kerajaan PH tumbang secara demokrasi apabila adanya keinsafan dalam kalangan sebahagian Ahli Parlimen yang kembali ke pangkal jalan bagi menyelamatkan negara,” katanya.
Hadi turut menyindir pihak tertentu yang telah hilang kuasa tetapi membuat kenyataan seolah-olah masih berada di atas takhta.
“Ada pula mereka yang masih tidak sedar dirinya sudah jadi pembangkang dan bukan lagi kerajaan, dengan berlagak membuat kenyataan seolah-olah masih berada di atas takhta,” katanya.
Hadi berkata kedua-dua pandemik gila kuasa dan Covid-19 itu menyusahkan rakyat.