Pemuda UMNO seluruh negara lapor polis terhadap Kit Siang


(Malaysia Gazette) – Pemuda UMNO Malaysia menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas penasihat DAP, Lim Kit Siang kerana dengan biadab dan kurang ajar mempermainkan kesucian nama Allah.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau telah mengarahkan kepimpinan Pemuda UMNO seluruh negara membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen yang juga pemimpin DAP itu.

“Mempermainkan kesucian nama Allah dan mengaitkannya dengan kegagalan kerajaan hari ini menguruskan pandemik Covid-19 adalah satu bentuk penghinaan kepada agama Islam.

“Perbuatan Kit Siang ini amat biadab dan kurang ajar serta mesti diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Semalam, menerusi media sosialnya, Kit Siang dilaporkan menulis, “If Allah government is the best form of government in Covid-19 pandemic, why Malaysia is the last in the economist’s global normalcy index losing out to countries none of which can claim to be “Allah’s government”.

Tulisan beliau itu membuatkan netizen mengkritik dan tidak setuju dengan penggunaan nama Allah dalam kenyataan itu.

Menurut Dr. Asyraf, DAP seharusnya belajar bahawa sikap cauvinis dan rasis mereka dengan sewenangnya meremehkan kesucian Islam menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya bertahan 22 bulan sahaja.

Ini juga, jelas beliau, sebab UMNO satu-satunya parti yang tidak pernah ada pengalaman menjalinkan kerjasama politik, bahkan terus mempertahankan mandat perwakilan akar umbi di perhimpunan agung untuk tidak sesekali bersetuju berpakat dengan parti itu.

“Itupun dalam diam-diam, pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahu menandatangani ‘Confidenc.e and Supply Agreement (CSA)’ dengan DAP bagi membolehkan Perdana Menteri terus dapat mandat untuk berkuasa.

“Jika ini berlaku, UMNO seharusnya tidak berkompromi dan rakan Muafakat Nasional Pas juga harus menyatakan pendiriannya,” katanya.

 



Comments
Loading...