UMNO masih sokong kerajaan, hanya tak sokong Muhyiddin, kata Najib Razak


(Astro Awani) – Keputusan Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi bukan bermaksud menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu berpendapat keputusan itu bermaksud UMNO menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai memberi laluan kepada pentadbiran sementara dengan tempoh dan matlamat tetap bagi menyelesaikan isu COVID-19.

Selain itu, Najib berkata keputusan itu juga untuk membantu rakyat dan mencapai imuniti kelompok melalui program vaksinasi sebelum Parlimen dibubarkan, sekali gus mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Ianya bukan sahaja langkah paling tepat malah merupakan satu-satunya sahaja pilihan untuk kebaikan rakyat dan negara bagi jangka masa pendek dan panjang.

“Cara penyelesaian ini juga memenuhi hasrat titah Raja-Raja Pemerintah bulan lepas bahawa perlunya ada sebuah kerajaan stabil yang mendapat keyakinan dan sokongan majoriti rakyat,” katanya dalam kemas kini dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Jelas Najib lagi, penyelesaian masalah ketika ini bukan dengan menggantikan sebuah kerajaan dengan kerajaan lain.

“Sebab itu, kerajaan interim ini perlu ada tempoh hadnya dengan matlamat jelas. Tidak boleh melebihi tempoh tiga hingga enam bulan sebab ianya juga sebuah kerajaan pintu belakang dengan majoriti tipis yang bukan pilihan Rakyat.

“Lagipun tempoh untuk Parlimen terbubar dengan sendirinya juga cuma kurang dua tahun lagi sebelum penggal pilihan raya umum (PRU) ini berakhir,” katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan UMNO mengambil keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri dengan serta-merta.

Menurut Ahmad Zahid, segala panduan utama yang digariskan oleh UMNO sebagai syarat sokongan terhadap Muhyiddin sebelum ini telah gagal dipenuhi dan dilaksanakan dengan memuaskan.

 



Comments
Loading...