Sultan Selangor dukacita: Kerajaan Selangor kerajaan gagal
(Edisi 9) – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita terhadap dua perkara susulan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lalu.
Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Istana Alam Shah, Sultan Sharafuddin bertitah, yang pertama, baginda sedih dan kecewa kerana terpaksa memutuskan untuk terus menghadkan fungsi masjid dan surau di seluruh Negeri Selangor.
Sementara, kedua, baginda sedih dan dukacita apabila melihat peningkatan angka kematian akibat wabak COVID-19 di seluruh pelusuk Negeri Selangor.
Baginda begitu memahami luahan hati rakyat dan rayuan umat Islam di media sosial serta menerusi surat, yang menggesa agar masjid-masjid di Negeri Selangor kembali berfungsi sepenuhnya seperti sediakala.
Sehubungan dengan itu, Sultan Selangor ingin menegaskan bahawa masjid di Negeri Selangor tidak pernah ditutup dan bukan sesuatu yang mudah untuk baginda menitahkan agar masjid-masjid menghadkan kehadiran jemaah untuk menunaikan solat-solat Fardhu dan Solat Jumaat.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dukacita
“Keputusan ini diambil setelah meneliti dan memantau dengan terperinci data dan statistik penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan di Negeri Selangor,”titah baginda.
Sehingga 9 Julai 2021, Selangor telah merekodkan sejumlah 1,933 kematian (28 kematian pada 9 Julai 2021 sahaja), dengan 4,400 kes jangkitan harian baharu.
Lebih membimbangkan, pada akhir Jun 2021, data menunjukkan kematian di kalangan bangsa Melayu di Negeri Selangor mencecah 855 orang, iaitu lebih daripada separuh daripada jumlah 1,571 kematian ketika itu.
Beberapa minggu sebelum bulan Ramadan lalu misalnya, apabila kelonggaran diberikan untuk aktiviti ibadat dilakukan di masjid-masjid, kadar jangkitan terus merebak sehingga mewujudkan beberapa kluster baharu di masjid dan surau di Negeri Selangor.
Berikutan itu, baginda kesal kerana meskipun pelaksanaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dikawal dan diperketat di masjid-masjid, namun penularan wabak berbahaya ini terus mengganas.
Kerajaan Selangor kerajaan gagal
Baginda sendiri tidak sanggup lagi untuk melihat visual-visual memilukan yang memaparkan kesedihan waris keluarga kerana tidak berkesempatan menziarah di hospital dan menghantar jenazah ke tanah perkuburan.
Disebabkan itu, sehingga hari ini, walaupun berat hati, Sultan Selangor masih berpendirian bahawa aktiviti keagamaan di masjid dan surau mesti dihadkan khususnya solat berjemaah, demi keselamatan seluruh umat Islam di Negeri Selangor yang Baginda kasihi.
Tegas baginda, kesan daripada penularan wabak COVID-19 adalah berbeza bagi setiap negeri, justeru perbandingan tidak boleh dibuat secara kasar.
“Apatah lagi, Selangor sehingga kini masih lagi merupakan negeri dengan catatan kes baharu dan kematian tertinggi sejak beberapa bulan lalu.
Selangor bertukar menjadi “war zone”
Bagaimanapun, titah Sultan Selangor, sekiranya jumlah kes jangkitan baharu terus menurun dan jumlah peratusan pemberian vaksin berbanding jumlah populasi terus meningkat, Insya-Allah, masjid dan surau akan kembali dibuka seperti biasa.
Sehingga itu terjadi, baginda mahu seluruh umat Islam di Negeri Selangor terus menunaikan solat dan beribadat di rumah serta tidak putus memanjatkan doa ke hadrat Allah S.W.T agar menghapuskan wabak berbahaya ini.
Di kesempatan ini, baginda bertitah, umat Islam dinasihatkan agar terus kekal tabah dan bersabar kerana wabak ini adalah satu ujian dan dugaan supaya kita sentiasa mengingati kebesaran Allah S.W.T.