Bekas staf Anwar failkan saman, butirkan insiden ‘mengejutkan’ di Bukit Segambut


(Malaysia Now) – Bekas kakitangan Anwar Ibrahim berusia 28 tahun, yang dua tahun lalu menuduh presiden PKR itu menyerangnya secara seksual memfailkan saman mengandungi butiran yang mengejutkan mengenai insiden yang didakwa berlaku 10 hari sebelum ahli politik itu memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada 13 Oktober 2018.

Muhammed Yusoff Rawther berkata dia mengalami trauma serius secara fizikal, psikologi dan sosial akibat insiden itu.

“Selanjutnya, disebabkan status defendan (Anwar) pada setiap masa material, khususnya sebagai ‘the prime minister in waiting’ dan juga imej defendan sebagai ‘ikon reformasi’, plaintif tidak mendapat sokongan yang sepatutnya diterima oleh mangsa serangan seksual oleh individu terkemuka,” kata sebuah pernyataan yang difailkan peguam Yusoff di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

“Sebaliknya, plaintif digambarkan sebagai seorang yang jahat yang kononnya adalah sebahagian daripada komplot untuk menjatuhkan dan/atau merosakkan kerjaya politik defendan..”

Yusoff ketika ini sedang menuntut deklarasi mahkamah mengatakan pemimpin utama PKR itu melakukan serangan seksual, selain gantirugi am, setimpal dan “aggravated damages” yang turut memasukkan kos sesi-sesi terapi yang dihadirinya ketika ini.

Saman tersebut turut menyenaraikan beberapa tingkah laku dan perkataan cabul yang didakwa dilakukan oleh Anwar.

Dalam sebuah dokumen mahkamah yang dilihat MalaysiaNow, Yusoff, yang merupakan cucu kepada aktivis pengguna terkemuka SM Idris, berkata dia diperkenalkan kepada Anwar ketika pemimpin PKR itu melawat rumah arwah datuknya di Pulau Pinang pada 2 September 2019, kurang dari empat bulan selepas beliau dikurniakan pengampunan diraja bagi sabitan kes liwat, sekali gus memendekkan hukuman lima tahun penjara yang dihadapi beliau.

Yusoff berkata sepanjang pertemuan tersebut, Anwar memberikan sebuah iPhone untuk dimasukkan butiran kontak, dan menawarkan peluang kerja dengan beliau.

“Kira-kira 20 minit selepas Defendan beredar dari kediaman Plaintif, Defendan telah menghantar servis pesanan ringkas (SMS) meminta Plaintif untuk menghubunginya melalui WhatsApp,” kata pernyataan saman tersebut.

Yusoff kemudian berkata mereka berdua mula berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp, menambah kandungan penuh perbualan mereka akan didedahkan dalam perbicaraan.

Yusoff yang bekerja di pejabat banglo Anwar di Bukit Gasing, Petaling Jaya, di mana dia turut diberikan tempat tinggal, berkata dia tidak pernah menerima surat rasmi pelantikan namun diarahkan untuk mendapatkan sebarang tugasan melalui ketua kakitangan Abdul Rahman @ Abdul Manaf bin Abdullah.

Dia berkata tugas-tugasnya termasuk melaksanakan kajian mengenai polisi, menyediakan ucapan, selain mengendalikan urusan surat-menyurat antara Anwar dan menteri dari luar negara dan usahawan-usahawan terkemuka.

Yusoff berkata dia ditugaskan untuk menyediakan ucapan yang akan disampaikan Anwar bagi sebuah acara sempena memperingati Mahatma Gandhi yang dianjurkan oleh Kedutaan India di Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2018.

Pada tarikh tersebut, Yusoff berkata pengawal Anwar membawa beliau bertemu ahli politik itu dan dia diberitahu oleh setiausaha sulit Anwar, Shukri Saad untuk memberikan sendiri teks ucapan tersebut kepada Anwar.

Dia berkata, ketika sampai, Anwar mengarahkannya untuk masuk ke dalam rumah bagi “berbincang secara lanjut” mengenai teks ucapan tersebut.

Yusoff berkata mereka kemudian masuk ke dalam perpustakaan di mana Anwar mengarahkannya untuk meletakkan beg di lantai dan kemudian memberikan isyarat supaya menghampirinya.

Yusoff kemudian menyenaraikan 16 tindakan serangan seksual yang dituduh dilakukan oleh Anwar.

Selepas tujuh bulan, Yusoff berkata dia diserang oleh setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang kemudian menjadi subjek siasatan jenayah namun didakwa mengambil masa yang terlalu lama olehnya.

Yusoff memfailkan saman sivil berasingan terhadap Farhash menuntut gantirugi kecederaan, selain sebuah saman terhadap setiausaha akhbarnya Tunku Nashrul Tunku Abaidah mengenai tuduhan fitnah.

Dipercayai proses mediasi sedang berjalan antara ketiga-tiga pihak.

Akuan sumpah Yusoff pada November 2019 dan laporan ppolis terhadap Anwar turut disusuli beberapa minggu siasatan yang dilaksanakan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang melibatkan jenayah dengan niat mencabul kehormatan.

Sepanjang siasatan tersebut, polis memanggil Anwar dan Yusoff, di mana Yusoff bersetuju untuk menjalani ujian poligraf selama empat jam di Bukit Aman. Anwar bagaimanapun menolak untuk menjalani ujian tersebut.

Pada 14 Januari 2020, Pejabat Peguam Negara yang ketika itu diketuai Tommy Thomas, berkata ia tidak akan menjalankan pertuduhan terhadap Anwar susulan “kekurangan bukti” dan fakta-fakta yang “bercanggah”.

Tiga hari kemudian, Anwar berkata beliau akan memfailkan saman fitnah terhadap Yusoff atas akuan sumpah berkanun yang dikemukakan Yusoff pada 19 November, namun kemudian beliau memutuskan untuk tidak meneruskannya.

Peguam Anwar, Ramkarpal Singh berkata keputusan tersebut diambil kerana klien beliau “dibersihkan” oleh Pejabat Peguam Negara, menambah saman tersebut akan mengambil “banyak masa dan melibatkan kos yang tidak perlu”.

https://www.malaysianow.com/berita/2021/07/15/bekas-staf-anwar-failkan-saman-butirkan-insiden-mengejutkan-di-bukit-segambut/



Comments
Loading...