Lokman Adam dipenjara sebulan kerana mengugut saksi kes 1MDB


(Malaysia Now) – Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini setelah didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Najib Razak.

Saksi itu ialah bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes tersebut.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam penghakimannya berkata responden (Lokman) melakukan penghinaan dengan mengancam Amhari yang merupakan saksi pendakwaan ke-8.

“Saya dapati tindakan responden membuat laporan polis dan membuat kenyataan media, terjumlah kepada suatu ugutan terhadap PW8 (Amhari) dan pihak lain sebagai saksi yang berpotensi dalam kes perbicaraan ini.

“Mahkamah ini mendapati responden bersalah kerana menghina mahkamah dan perlu menjalani hukuman penjara selama sebulan mulai hari ini,” kata hakim.

Hakim Sequerah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan membabitkan jumlah bon RM3,000 dengan seorang penjamin.

 



Comments
Loading...