Badan anti-rasuah Hungary gambarkan rundingan pembelian alat pernafasan sebagai ‘penyalahgunaan’


(Malaysia Now) – Badan pencegahan rasuah dunia di Hungary berpandangan pembelian peralatan perubatan oleh negara itu tahun lalu sebagai dilakukan secara rahsia sekali gus memfailkan permohonan kebebasan maklumat berhubung butiran urusniaga tersebut.

Transparency International Hungary (TI-Hungary) menyifatkan pembelian oleh Budapest melibatkan puluhan kontrak menimbulkan keraguan.

“Sangat jelas, perolehan alat pernafasan.. ini adalah salah guna kuasa dan salah tadbir urus,” kata pemantau anti-rasuah, Miklos Ligeti kepada MalaysiaNow.

Pembelian alat bantuan pernafasan dan peralatan perubatan lain di Hungary tahun lalu dilihat sebagai pembelian peralatan perubatan tunggal terbesar oleh negara anggota Kesatuan Eropah itu.

Bulan lalu, MalaysiaNow melaporkan beberapa pembelian tersebut berkait dengan ahli perniagaan Malaysia, Vinod Sekhar, dipercayai mendapat bahagian terbesar kontrak daripada rundingan perniagaan bernilai lebih dari setengah bilion dolar.

Pembelian alat bantuan pernafasan di Hungary mencetuskan perdebatan hangat tahun lalu apabila ahli politik pembangkang menyifatkan rundingan-rundingan pembelian tersebut sebagai tidak telus dan turut menyebabkan bekalan berlebihan.

Sekhar yang mengendalikan rangkaian syarikat dan organisasi di bawah Kumpulan Petra, memperolehi kontrak bernilai lebih dari AS$500 juta, atau sekitar RM2.5 bilion untuk membekalkan alat bantuan pernafasan kepada kerajaan Hungary.

MalaysiaNow melihat dokumen yang diberikan oleh seorang wartawan Hungary yang menyiasat perjanjian kontroversi itu, selepas dokumen-dokumen tersebut dikeluarkan kementerian luar negara itu setelah mendapat tekanan daripada media.

Antara lain, dokumen-dokumen tersebut menunjukkan kerajaan Hungary bersetuju untuk membayar sebanyak AS$559,600,000, yang pada masa kontrak pada Mei 2020, ditukar matawang sekitar RM2.43 bilion, kepada GR Technologies, sebuah syarikat yang diwakili Sekhar.

Dalam sebuah wawancara di sebuah laman sesawang berita semalam, Sekhar mengesahkan penglibatannya dalam membekalkan alat bantuan pernafasan kepada kerajaan Hungary, namun berkata “semua urusniaga adalah telus”.

“Adakah kita akan jana wang? Ia adalah peratusan normal (dalam komisen). Orang beri masa dan tenaga untuk dapatkan, dan mereka harus dibayar,” katanya.

“Pada akhirnya, saya akan dapat komisen dan saya akan berikan sumbangan kepada Hungary.”

Pada Oktober tahun lalu, seorang aktivis politik Hungary yang juga ahli Parlimen Eropah mempersoalkan mengapa sebahagian besar pembelian dilakukan melalui kementerian luar negeri negara itu.

“Pelik sebenarnya apabila pembelian peralatan kesihatan tidak dikendalikan oleh kementerian kerajaan yang bertanggungjawab untuk penjagaan kesihatan, sebaliknya oleh jabatan hal ehwal luar negeri,” kata István Ujhelyi.

Dalam pada itu, Ligeti berkata kebimbangan mengenai pembelian alat bantuan pernafasan itu bukan hanya kerana saiznya besar, bahkan disebabkan oleh “prosesnya yang sangat mahal”.

Ligeti turut berkata pembekal-pembekal dalam pembelian yang dilakukan Hungary itu “dipilih tanpa mengikut sistem dengan proses yang tidak telus dan tanpa proses tawar-menawar.”

“TI-Hungary cuba buat susulan mengenai berita ini, kami mohon kebebasan maklumat daripada kementerian luar negeri dan kementerian perdagangan Hungary, dan setidaknya kami dapat dedahkan daripada respons-respons itu bahawa tidak ada alat bantuan pernafasan yang dijual semula di pasaran, jadi, dari sudut kewangan, transaksi ini adalah sebuah bencana,” katanya kepada MalaysiaNow.

“TI-Hungary yakin bahawa orang-orang yang terlibat dengan skandal ini harus dihadapkan ke muka pengadilan dan kami dengan senang hati akan bekerjasama dalam hal ini.”

https://www.malaysianow.com/berita/2021/07/28/badan-anti-rasuah-hungary-gambarkan-rundingan-pembelian-alat-pernafasan-sebagai-penyalahgunaan/



Comments
Loading...