107 Ahli Parlimen tak sokong Muhyiddin, kata Anwar, hanya 113 saja yang sokong


(FMT) – Percubaan Ahli Parlimen Pembangkang untuk berarak dari Dataran Merdeka ke Parlimen tidak berjaya kerana anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dengan perisai rusuhan menyekat kemaraan mereka.

Ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka memulakan perarakan mereka ke Parlimen pada kira-kira 10.20 pagi dalam protes meminta peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan anggota Jemaah Menteri.

Laungan “Hidup Rakyat” dan “Daulat Tuanku” bergema dalam perarakan yang turut disertai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim itu.

Anggota polis dilihat hadir untuk mengawal situasi, dan Ahli Parlimen terbabit beberapa kali perlu berunding dengan mereka supaya perarakan dapat mara.

Namun, mereka tidak dapat berarak jauh kerana anggota FRU menghalang jalan masuk ke Jalan Parlimen dari Dataran Merdeka.

Setelah menerima arahan anggota FRU, Ahli Parlimen yang berkumpul itu akhirnya bersurai menjelang 11 pagi dengan ada yang kembali ke Dataran Merdeka.

Ketika meminta mereka yang hadir supaya bersurai, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata, Ahli Parlimen telah menyatakan pendirian mereka dengan jelas.

Seramai 107 Ahli Parlimen daripada setiap parti pembangkang hadir pada perarakan tersebut, tambahnya.

“Speaker (Dewan Rakyat) tidak mengotakan janji dan gagal menjalankan tugasnya. Beliau (bertindak) secara paling tidak terhormat untuk melindungi perdana menteri yang telah kehilangan keabsahannya.

“Kita di sini sekurang-kurangnya sebagai rakyat, taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan juga yang mahu tunduk kepada Perlembagaan dan membela nasib rakyat.

“Rakyat sekarang terkorban, derita kerana kegagalan kerajaan. Kerajaan hilang sokongan, kerajaan gagal melaksanakan tugas, tetapi terus bertahan untuk pegang kuasa,” katanya.

Selain Mahathir dan Anwar, Ahli Parlimen pembangkang lain yang hadir adalah Presiden Warisan Shafie Apdal, Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada MUDA.

 



Comments
Loading...