Wartawan lagi ramai berbanding 50 Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka
(Agenda Daily) – Jumlah wartawan yang membuat liputan di Dataran Merdeka pada pagi ini lebih ramai berbanding Ahli-Ahli Parlimen (MP) blok pembangkang yang berhimpun, namun ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sudah memiliki majoriti untuk ditabal Perdana Menteri baharu.
Tinjauan wartawan Agenda Daily yang bertugas di lapangan memberitahu daripada pemerhatian, jumlah MP yang hadir berhimpun dianggarkan tidak melebihi 50 orang dan ia menimbulkan persoalan dakwaan Anwar yang mengatakan mereka sudah memiliki majoriti.
“Jumlah wartawan yang membuat liputan lebih ramai berbanding MP pembangkang yang berada di Dataran Merdeka, jika dikira tidak lebih 50 orang MP yang ada bersama Anwar tadi,” kata wartawan Agenda Daily.
Pagi tadi semasa berhimpun di Dataran Merdeka, Anwar mendakwa kerajaan Perikatan Nasional sudah tumbang apabila MP menarik sokongan mereka terhadap pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Hari ini kita berkumpul untuk menyatakan bahawa, secara jumlah Ahli Parlimen, kerajaan Muhyiddin telah jatuh tumbang hari ini. Dan saya dapat maklumat dari parti-parti lain ada mengemukakan senarai yang minta keluar dari PN.
“Maka dengan 107 yang ada di sini, campur mereka, kerajaan sudah ditumbangkan,” katanya.
Selain Anwar, antara pemimpin utama blok pembangkang yang lain hadir bersama adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal dan Pengerusi Parti Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan rakan karibnya, Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan pakatan bersama Anwar tidak menghadiri himpunan pagi ini.
Kumpulan tersebut membawa sepanduk bersama yang mengkritik kerajaan.
Ini bukan kali pertama Anwar mendakwa sudah memiliki majoriti, sebelum ini Anwar juga pernah mendakwa dirinya memiliki majoriti susulan sepucuk surat sokongan yang ditandatangani Zahid dan Najib yang dihantar ke Istana Negara.
Anwar juga dalam dua sidang media tahun lalu beria-ria mendakwa memiliki majoriti kukuh untuk dilantik menjadi PM sebelum memalukan dirinya sendiri selepas gagal menunjukkan bukti sokongan dimilikinya.
Pada Khamis lalu, satu kenyataan yang menyatakan pendirian 40 MP Barisan Nasional menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin dikeluarkan.
Kenyataan itu ditandatangani Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mempengerusikan mesyuarat melibatkan 40 MP BN dan menyatakan secara konsensus menyokong kerajaan PN diterajui Muhyiddin.