‘Jangan layan penangguhan bicara kes rasuah’ – Sultan Selangor


(Berita Harian) – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Al-Haj, berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melayan sebarang penangguhan perbicaraan membabitkan kes rasuah, terutamanya di negeri ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan Selangor Royal Office, baginda menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan terbaharu ini berhubung kes rasuah terutamanya di negeri itu.

“Baginda berharap, SPRM dapat melakukan siasatan yang telus dan teliti, supaya pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah.

“Baginda juga menyeru agar perbicaraan kes-kes rasuah disegerakan dan mahkamah tidak melayani penangguhan kes tanpa alasan yang kukuh, kerana rakyat juga sudah muak dan bosan melihat pendakwaan kes-kes rasuah yang berlarutan terlalu lama.

“Baginda turut menyasar agar gejala rasuah di Selangor ini dapat dibanteras sepenuhnya supaya tidak menjadi masalah lebih besar yang boleh memudaratkan generasi masa hadapan serta merosakkan masyarakat,” menurut kenyataan itu hari ini.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Turut berangkat dalam pertemuan selama dua jam itu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Dalam pertemuan, baginda diberi taklimat mengenai peningkatan yang tinggi membabitkan kes-kes rasuah khususnya di Selangor.

 



Comments
Loading...