MP UMNO bersama rakyat Vs MP UMNO bersama Zahid Hamidi


Covid dan Politik

(Agenda Daily) – Pada masa rakyat sengsara dengan isu Covid ini, sebolehnya kita jangan sangat berpolitik. Kita wajib tumpu masa bantu rakyat. Tingkatkan vaksinasi dan pulihkan ekonomi.

Untuk kebaikan rakyat dan tidak banyak berpolitik, saya membuat keputusan untuk menyokong kerajaan sedia ada di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jangan kita nafikan Tan Sri Muhyiddin telah banyak membantu UMNO. Dahulu di bawah Pakatan Harapan (PH), kita UMNO adalah pembangkang. Sekarang kita berada bersama-sama dalam kerajaan.

Pemimpin UMNO telah diberi pengiktirafan sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan dilantik menteri-menteri kanan kerajaan. Kebolehan pemimpin UMNO inilah menyebabkan ramai ahli UMNO bersyukur dan turut sama dibantu kerajaan.

Tan Sri Muhyiddin juga telah banyak berjasa membantu warga FELDA. Bermula dengan bantuan sukuk bernilai RM9.9 billion, diikuti baru-baru ini telah meluluskan penghapusan hutang berjumlah RM8.3 billion. Tidak akan jumpa lagi pemimpin sebegini yang berjiwa besar membantu warga FELDA sebegini rupa.

Berkaitan situasi UMNO sekarang, YB Presiden UMNO DS Zahid pernah berkata, Ahli-ahli Parlimen UMNO bebas membuat pilihan untuk menyokong siapa di Parlimen. Sekarang beliau mengarahkan pula kita perlu tarik sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri. Keputusan beliau sentiasa berubah.

Sayangnya saya tidak nampak ‘game plan’ di mana YAB Presiden UMNO hendak membawa kita pada ketika kesihatan rakyat masih diancam. Kita diarah menolak kerajaan sedia ada dan menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin.

Selepas itu kemana kita? Adakah kita hendak kembali menjadi pembangkang? Membiarkan pemimpin bukan Melayu mentadbir agama Islam? Atau adakah kita hendah menyokong DS Anwar Ibrahim sebagaimana kita maklum akan hubungan akrab kedua-duanya?

PAU UMNO tolak DS Anwar, tapi Presiden berkata DS Anwar adalah cikgu dia. Presiden juga secara diam-diam telah tandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong DS Anwar. Oleh itulah maka kita perlu lebih berhati-hati di dalam membuat keputusan demi kelangsungan masa depan UMNO.

Saya berpandangan, masa depan UMNO akan menjadi lebih baik jika kita bersama-sama dengan kerajaan sekarang di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin. Kerajaan ini tidak maksum, namun bagi mengelak mudharat yang lebih besar, ia menjadi pilihan yang terbaik ketika ini.

Saya menyeru agar kita dapat tingkatkan solidariti di kalangan ahli UMNO. Saya sayangkan UMNO; dulu, kini dan selamanya.

Insya-Allah, moga kita akan diberi petunjuk dan diberkati Allah SWT.
Insya-Allah kita akan berjaya.

Idris Jusoh
Ahli Parlimen Besut

 



Comments
Loading...