Tindakan tegas jika aduan sogokan Ahli Parlimen PH palsu, fitnah


(Agenda Daily) – Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terbukti melakukan kesalahan rasuah serta laporan palsu berhubung dakwaan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) ditawarkan wang untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata beliau telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh terhadap semua laporan polis yang telah dibuat.

“Selain merujuk laporan-laporan polis tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), siasatan juga dilaksanakan bagi menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat oleh pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan tindakan tegas tanpa kompromi diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan jenayah, termasuk pihak yang membuat laporan polis yang palsu dan fitnah.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada dakwaan beberapa Ahli Parlimen PH yang telah menerima mesej berunsur rasuah melalui aplikasi WhatsApp, yang menawarkan wang lumayan supaya menyokong kerajaan PN.

Terdahulu, laporan menyebut SPRM sudah menemui tiga Ahli Parlimen DAP berhubung dakwaan rasuah berbentuk wang dan jawatan dalam kerajaan PN.

Manakala polis Perak turut mengesahkan menerima laporan yang dibuat Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran pada Sabtu lalu.

Kulasegaran mendakwa beliau dihubungi seorang individu tidak dikenali yang menawarkan ganjaran sekiranya memberi sokongan kepada kerajaan PN.

Beliau mendakwa tawaran itu dibuat menerusi telefon setiausahanya, Jeremy Chuah pada Jumaat. Antara tawaran tersebut adalah ganjaran wang berjumlah RM30 juta, kedudukan sebagai menteri serta pelbagai insentif lain.

Antara yang dilapor menerima mesej seperti itu ialah Ahli Parlimen Ipoh Utara Wong Kah Woh dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

 



Comments
Loading...