Harapan duduki jawatan tertinggi malap, dalaman PH mula bincang ganti calon PM
Pemimpin kanan gabungan itu perlu melihat masa depan menjangkaui presiden PKR selepas dua dekad berusaha angkat beliau sebagai perdana menteri.
(Malaysia Now) – Beberapa gesaan mulai timbul supaya Pakatan Harapan (PH) memikirkan semula sokongan terhadap Anwar Ibrahim ketika pemimpin PKR itu dalam usaha menduduki jawatan tertinggi di Putrajaya kekal tidak jelas buat kesekian kalinya selepas semua petanda menunjukkan Perikatan Nasional (PN) akan kembali menjadi kerajaan.
Seorang sumber dalaman PKR berkata ketika penyokong pembangkang mulai menunjukkan kemarahan di media sosial terhadap apa yang disifatkan sebagai perkiraan salah oleh Anwar kerana memaksa Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, wujud perbincangan dalaman antara mereka yang rapat dengan pemimpin PH dalam usaha menggesa gabungan itu untuk “menghentikan kerjasama malang yang berjalan untuk beberapa dekad” bersama beliau.
“Perbincangan ini dipusatkan kepada kritikan yang mengatakan PH kurang serius dalam isu perbincangan yang sistemik mengenai persefahaman rentas parti yang ditawarkan Muhyiddin,” kata sumber PKR itu kepada MalaysiaNow dengan syarat namanya tidak didedahkan.
“Akhirnya, ia hanya tentang pemimpin-pemimpin utama yang tergesa-gesa untuk mengisi kekosongan kuasa tanpa mengesahkan terlebih dahulu angka (sokongan) yang diperolehinya.”
Pemimpin Umno Ismail Sabri Yaakob dilihat bakal menjadi perdana menteri pilihan majoriti ahli-ahli Parlimen selepas menerima sokongan daripada parti-parti dalam PN termasuk GPS dan Umno.
Hal ini berlaku selepas lebih sepuluh ahli Parlimen dalam kumpulan yang bersekutu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang rapat bekerjasama dengan Anwar dalam menekan Muhyiddin meletakkan jawatannya bersetuju menyokong pencalonan Ismail sebagai perdana menteri.
MalaysiaNow difahamkan dengan sokongan penuh Umno, Ismail yang tegas berdiri di belakang Muhyiddin daripada tunduk kepada keinginan Zahid dan bekas ketuanya Najib Razak akan memiliki marjin selesa sokongan untuk dilantik sebagai perdana menteri oleh Agong.
“Berita-berita seperti ini memang sudah dijangka… kerana ke mana pun kami pergi, kami masih tidak memiliki sokongan yang cukup.
“Puncanya bukan dasar atau parti, tetapi calon perdana menteri kami,” kata sumber tersebut yang dilihat merujuk Anwar.
Anwar menjadi calon perdana menteri pembangkang bagi setiap pilihan raya selepas pemecatan beliau dari Umno pada 1998, beliau memulakan tunjuk perasaan dan berjaya menyatukan pembangkang yang sebelumnya berpecah.
Namun Pilihan Raya Umum 2018 yang menyaksikan persetujuan bersama antara pemimpin PH adalah satu peristiwa yang menjadikan beliau lebih dekat dengan jawatan utama kerajaan tersebut.
Bagaimanapun, kerajaan PH tumbang sebelum peralihan kuasa berlaku dan jawatan itu kemudiannya disandang Muhyiddin.
Walaupun begitu,Anwar berulang kali mendakwa beliau memiliki sokongan majoriti.
Pada September tahun lalu, beliau dilaporkan secara meluas mendakwa dirinya memiliki angka sokongan majoriti yang “kuat, kukuh dan meyakinkan” bagi menggulingkan Muhyiddin namun beliau gagal menunjukkan bukti sokongan itu ketika mengadap Agong.
“Sebahagian kami sedar penyokong sudah menukar nada mereka daripada penuh harapan kepada sinikal dan sekarang ini kedengaran menghina”, kata sumber tersebut.
Tinjauan sekilas di Twitter dan Facebook menunjukkan penyokong PH mengkritik keputusan pemimpin kanan gabungan itu kerana menolak tawaran Muhyiddin untuk melaksanakan pebaharuan yang diperjuangkan oleh pembangkang sebagai tukaran sokongan undi percaya di Dewan Rakyat bulan depan.
“PH sudah terlepas peluangnya untuk jadi kingmaker,” kata seorang pengguna Twitter.
“Apa kejadahnya PH gesa PM letak jawatan tanpa ada perancangan?” ulas seorang lagi pengguna.
READ MORE HERE