Jho Low adalah bos sebenar, Najib berlakon, kata bekas CEO 1MDB


(Malaysia Now) – Perbicaraan 1MDB melibatkan Najib Razak semalam diberitahu usahawan dalam buruan Low Taek Jho mengambil alih peranan ketua pegawai eksekutif (CEO) dalam kawalan syarikat dana negara tersebut, selain menambah bekas perdana menteri itu terpaksa berdrama ketika menyiasat dana yang hilang dari syarikat, lapor Malay Mail.

Ia memetik bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman yang memberitahu Mahkamah Tinggi beliau percaya arahan-arahan datang dari Najib dan Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Memberikan keterangan di perbicaraan Najib berhubung pertuduhan salah guna dana bernilai RM2.8 bilion, Hazem yang merupakan saksi pendakwaan berkata walaupun Low tidak memiliki sebarang jawatan dalam 1MDB beliau dilihat hadir di mesyuarat hal ehwal syarikat bersama perdana menteri ketika itu.

Ketika ditanya peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, Hazem berkata pegawai-pegawai kanan 1MDB Terence Geh dan Jasmine Loo menerima arahan dari Low walaupun ketika itu beliau adalah CEO.

“Kenapa anda tidak maklumkan perkara ini sekurang-kurangnya kepada lembaga pengarah?” tanya Shafee seperti yang dilaporkan Malay Mail.

“Saya fikir ia sama seperti yang saya beritahu sebelum ini, mereka adalah orang Jho Low, dan Jho Low ini dianggap wakil perdana menteri,” kata Hazem sambil menambah beliau ada membincangkan perkara tersebut dengan ketua setiausaha sulit Najib, Azlin Alias selain dua pengarah 1MDB yang lain.

Hazem berkata pengerusi 1MDB Lodin Wok Kamaruddin juga turut sedar syarikat tersebut dikawal oleh Jho Low.

Najib disabitkan kesalahan dalam empat pertuduhan salah guna kuasa kerana menggunakan jawatannya selaku perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat 1MDB bagi menerima rasuah bernilai RM2.28 bilion selain 21 lagi pertuduhan pengubahan wang melibatkan RM4.3 bilion.

Jho Low di rumah Najib

Hazem turut mengakui beliau tidak mengambil langkah-langkah untuk menjelaskan mendapatkan penjelasan kepada Najib mengenai peranan Jho Low, mengatakan beberapa mesyuarat berhubung 1MDB turut dihadiri Jho Low, termasuk pada November 2013 di rumah bekas pemimpin itu di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur bagi membincangkan pelaburan RM2.3 billion oleh 1MDB.

“Jelas sebenarnya dia tak sepatutnya berada di situ. Dia sudah ada di sana dan turut berada dalam mesyuarat,” katanya.

Selepas diasak Shafee, Hazem berkata beliau tidak berdepan sendiri dengan Najib mengenai keraguannya berhubung kehilangan dana tersebut kerana yakin Najib mengetahui mengenainya.

“Kerana setakat yang saya perhatikan, perdana menteri tahu, dia pun sebahagian dalam mengatur,” beliau dipetik sebagai berkata.

Hazem sebelum ini memberi keterangan beliau diberitahu oleh Jho Low bahawa 1MDB ditubuhkan untuk membantu Umno mendapatkan dana.

https://www.malaysianow.com/berita/2021/08/18/jho-low-adalah-bos-sebenar-najib-berlakon-kata-bekas-ceo-1mdb/



Comments
Loading...