Cuba strategi baru, PH diberitahu selepas gagal jatuhkan PN


(Malaysia Now) – Pakatan Harapan (PH) perlu melakukan rombakan besar-besaran barisan kepimpinan apabila Anwar Ibrahim gagal dalam persaingan mendapatkan kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat berikutan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, kata beberapa penganalisis.

Mereka berkata, selain gagal menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kepimpinan PH boleh dipertanggungjawabkan sebagai menggembalikan Umno kepada kerusi perdana menteri dengan pelantikan naib presiden parti itu, Ismail Sabri Yaakob.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, kepimpinan Anwar selaku ketua pembangkang dilihat goyah apabila kenyataan awal beliau memiliki sokongan yang kuat dan meyakinkan hanyalah satu retorik semata-mata.

“Apabila diberi peluang sebegini terbuka, ternyata angka tidak menyebelahi beliau untuk menduduki kerusi perdana menteri,” kata Hisommudin yang sudah lama mengikuti perkembangan politik PH kepada MalaysiaNow.

“Kini, terpulang kepada rakan-rakan beliau di dalam blok pembangkang adakah masih melihat beliau masih berbisa untuk dipertaruhkan lagi sekali sebagai calon PM setelah rekod kegagalan berulang kali berlaku.”

PH pada bulan lepas mengerahkan segenap tenaga bagi menumbangkan kerajaan PN sehingga mengingkari SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyaksikan ahli-ahli Dewan Rakyat mereka berhimpun di Dataran Merdeka.

Mereka memprotes penutupan kompleks Parlimen berikutan kes Covid-19 yang dikesan di bangunan itu.

Anwar pada 29 Julai mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin dalam usaha menumbangkan PN, namun gagal menjatuhkan ahli Parlimen Pagoh tersebut.

Muhyiddin hanya meletakkan jawatan selepas penarikan sokongan oleh kumpulan Umno 15 yang diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Sebelum itu, Muhyiddin juga menawarkan kerjasama rentas parti dengan tawaran yang bakal menyaksikan reformasi institusi berlaku di Malaysia seperti jawatan perdana menteri dihadkan kepada dua penggal dan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen.

Hisommudin berkata, Anwar tiada pilihan kecuali mengeluarkan kenyataan untuk memfokuskan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun timbul persoalan adakah ahli Parlimen Port Dickson itu tidak serik dan masih mahu menawarkan diri sebagai calon perdana menteri.

Bagaimanapun katanya, sekiranya PH ingin beralih arah dan mengemukakan wajah lain sebagai “poster boy” mereka, masalah tetap akan timbul memandangkan pemimpin pelapis yang kuat tidak dibina gabungan itu.

“Ketika ingin mengambil alih kerajaan, ternyata mereka amat terikat kepada faktor Anwar. Pilihan kepada ikon lain seakan tiada kekuatan dan keyakinan.

“Bertitik tolak dengan episod kegagalan ini, PH Plus ternyata perlu membina barisan kepimpinan yang mampu menggantikan generasi sekarang,” katanya merujuk kepada kerjasama Ph dengan parti pembangkang lain seperti Warisan dan Pejuang.

Dapatan itu turut diperakui oleh Felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun yang bersetuju bahawa presiden PKR itu harus direhatkan.

Katanya, sudah tiba masa untuk Anwar mengambil kedudukan seperti “penasihat kanan” PH.

“Saya tidak nampak ada individu yang boleh menandingi reputasi beliau, tapi ada beberapa pemimpin kanan yang lebih muda daripada parti-parti komponen yang boleh mengambil tampuk kepimpinan secara kolektif.

“Dari PKR, anaknya (Nurul Izzah), Fahmi Fadzil dan Rafizi, dan dari DAP boleh kemukakan Anthony Loke,” katanya kepada MalaysiaNow.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...