Speaker, Timbalan Dewan Rakyat tidak patut ada jawatan dalam parti
AHLI Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan mereka yang dilantik sebagai Speaker, Timbalan Speaker Dewan Rakyat harus digantung daripada memegang jawatan politik dalam parti masing-masing.
(Suara Merdeka) – Ini bagi memastikan mereka yang dilantik dapat berfungsi dengan berkesan tanpa rasa takit atau pilik kasih dalam menjalankan tanggungjawan mereka di Dewan Rakyat.
Cadangan tersebut dibuat berdasarkan pengalaman Azalina dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan pada masa yang sama dirinya adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
“Dalam menjalankan tugas sebagai Timbalan Yang Dipertuan, timbulnya konflik peranan dan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga menyandang kedudukan sebagai Ahli Parlimen dalam sebuah kerajaan campuran.
“Peristiwa baru-baru ini membuktikan bahawa ada keputusan yang berlandaskan pendirian parti yang bertentangan dengan keputusan yang diharapkan sebagai mewakili kerajaan campuran,” kata Ahli Parlimen UMNO itu.
Beliau berkata demikian sebagai antara alasan meletakkan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkuatkuasa semalam.
Azalina antara 15 ahli Parlimen UMNO yang menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai perdana menteri sehingga menyebabkan Ahli Parlimen Pagoh itu meletakkan jawatan kerana hilang sokongan majoriti.
Azalina menjelaskan, perkembangan dalam 17 bulan lalu menyebabkan dia berfikir mengenai kekurangan institusi Parlimen dan kebatasan yang dihadapi dalam melaksanakan tugas dengan baik tanpa menjejaskan integriti profesionalnya.
“Sistem nilai peribadi saya yang berkaitan dengan kedaulatan undang-undang, demokrasi berparlimen, semak dan imbang sejak Proklamasi Darurat pada Januari 2021 adalah tekal dan konsisten.
“Kekecewaan dan kesukaran saya diketahui umum dan alasan-alasannya juga diketahui. Kapasiti rasmi saya dijamin oleh undang-undang dan prosedur, iaitu menegakkan Perlembahaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dengan apa cara sekali pun,” jelas beliau.
Tambah beliau, kurang perundingan dalam membuat keputusan secara bersama telah memberi kesan terhadap prestasi sebagai Timbalan Speaker.
Ini kerana di bawah Peraturan Mesyuarat seorang Timbalan Speaker tidak boleh membuat keputusan sendiri di Dewan Rakyat.
Azalina menegaskan apa yang beliau mahukan dalam Parlimen Malaysia adalah pengambilan keputusan dan tanggung jawab bersama, tidak berat sebelah, keadilan dan budaya saling menghormati.