Bahtera, parti baru berasaskan Islam, ditubuhkan
Parti Bahtera Sejahtera, yang baru ditubuhkan dengan dakwaan memperjuangkan dasar Islam, perlu membuktikan arah tuju sebenarnya sebelum boleh dianggap serius mahu terbabit dalam kancah politik negara.
(Updates Malaysia) – Mahu dikenali sebagai Bahtera, ia ditubuhkan sempena tarikh ulang tahun kemerdekaan negara.
Presiden Penaja Bahtera, Zulkifli Ahmad berkata, parti tersebut berteraskan kepada kepimpinan dan ahli yang berwibawa di atas landasan yang membina dan mengutamakan kesejahteraan.
“Parti ini (Bahtera) percaya bahawa Malaysia memerlukan daya politik yang baharu dan segar untuk memacu negara ke tahap yang unggul.
“Bersempena tarikh keramat 31 Ogos, jawatankuasa penaja Bahtera dengan sukacita mengumumkan bahawa proses pendaftaran parti sedang berjalan dan dokumen-dokumen lengkap telah diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dinaikkan di Facebook.
Semalam netizen berteka-teki apakah tujuan Bahtera diwujudkan, apakah ia parti serpihan dari sebuah parti politik lain dan siapa sebenar di belakang penubuhannya?
Malah Zulkifli juga tidak dikenali oleh netizen malainkan difahamkan beliau mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan.
Parti yang membawa gagasan wibawa, membina dan sejahtera itu berlogokan bulan sabit berwarna kuning dan kapal berjalur tiga dengan dua layar berwarna perang kemerahan.
Menerusi Facebook rasmi pertubuhan tersebut, Bahtera disebut sebagai sebuah “parti politik yang membawa dasar Islam berlandaskan Ahli Sunnah wal Jamaah”.
Selain memuat naik kenyataan media berkaitan pendaftaran parti itu, Bahtera juga menyiarkan poster salam takziah atas pemergian bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil.