Covid-19: Kematian meningkat, Selangor kekal tertinggi


(Agenda Daily) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 463 pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam. Jumlah ini termasuk kes kematian tertunggak yang hanya disahkan semalam.

Berdasarkan pangkalan maklumat COVIDNOW, jumlah kumulatif kematian sejak awal tahun lalu hingga semalam telah mencecah 21,587 kes.

Empat negeri merekodkan peningkatan kes kematian semalam, berbanding kelmarin dengan Selangor mencatat 255 kes, berbanding 111 yang direkodkan kelmarin.

Negeri lain yang mencatat peningkatan kes membabitkan Perak daripada 13 kes kelmarin kepada 24 kes semalam; Kuala Lumpur (12 kes semalam, 8 kes kelmarin); dan Sarawak (7 kes semalam, 5 kes kelmarin).

Dalam tempoh 24 jam semalam juga 108 pesakit Covid-19 meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan dan dikategorikan sebagai BID (Brought in Death). Kes BID direkodkan sebagai kes baharu dan kematian baharu secara serentak.

Menurut data itu juga sehingga kini 225,277 kes daripada keseluruhan jangkitan Covid-19 sebanyak 2,006,778 kes, masih aktif, manakala 1,764,576 pesakit telah sembuh sepenuhnya.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 186,094 pesakit menjalani kuarantin kendiri di rumah; PKRC (25,238 pesakit); hospital (12,703 pesakit); unit rawatan rapi (ICU) tidak memerlukan alat bantuan pernafasan (550 pesakit); dan ICU memerlukan alat bantuan pernafasan (692 pesakit).

 



Comments
Loading...