Pas akui sukar kalahkan PH kalau MN pecah
Pas mengakui usaha untuk menentang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan gagal jika Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai dengan Umno pada dua tahun lalu gagal dipertahankan.
(Malaysia Digest) – Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik berpendapat, perpecahan MN adalah paling ditakutinya berbanding jika PH berjaya merampas kembali Kerajaan Persekutuan.
“Jika orang bertanya kepada saya, apa yang paling saya takut, PH rampas balik kerajaan ini atau MN pecah?
“Tanpa ragu saya akan jawab saya lebih takut MN pecah. Kalau ditanya kenapa saya lebih takutkan perpecahan MN berbanding tumbangnya kerajaan ini?
“Saya akan jawab. Jika MN pecah, kerajaan ini juga akan tumbang dan sukar lagi untuk dikalahkan PH dalam keadaan MN sudah berpecah,” katanya dalam hantaran di Facebooknya lewat tengah malam tadi.
Namun, Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yakin PH akan dapat ditumbangkan kembali jika hanya kerajaan yang tumbang dan MN masih erat.
“Maaflah kalau pandangan saya berbeza dengan anda (penyokong MN). Alasan saya, jika kerajaan ini tumbang hanya ada satu kemudaratan iaitu KEKALAHAN.
“Tapi jika MN pecah akan ada dua kemudaratan iaitu KALAH dan HILANGNYA RAHMAT PERSAUDARAAN,” tegasnya sambil menggunakan huruf besar sepenuhnya bagi beberapa ungkapan tersebut.
Sehubungan itu, Mokhtar menyeru hubungan Pas dengan Umno terus dipelihara agar tidak kecundang pada PRU-15 akan datang.
“Jagalah ikatan persaudaraan. Kerana ianya rahmat Allah. Insya-Allah dengan rahmat persaudaraan ini kita tidak akan terkalahkan,” katanya lagi.
Pendirian Mokhtar dengan mengaitkan MN itu dilihat selari dengan reaksi beberapa pemimpin Pas mutakhir ini.
Bulan lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan rasa dukacita sejurus Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap Mahiaddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, tindakan Zahid itu tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti termaktub dalam piagam MN.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menegaskan kembali bahawa penubuhan MN yang bermatlamatkan kesatuan ummah serta membina kekuatan politik Melayu Islam perlu terus dipertahankan demi kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.
Menjelang penamaan Perdana Menteri menggantikan Mahiaddin sebelum ini juga, Pas kembali menyeru nama MN selepas platform kerjasama gabungan politik Melayu-Islam itu dilihat ‘sepi’ sepanjang tempoh 17 bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz menegaskan pembina MN adalah Presiden Umno dan Pas berserta seluruh ahli kedua-dua parti itu.
“Kukuh Muafakat Nasional, kukuhlah kesatuan umat yang kian berkembang dari satu tahap kepada satu tahap lebih baik yang akan menjamin kejayaan dan kesejahteraan negara,” kata Ahli Parlimen Bachok itu.