Lokman Adam didakwa dua pertuduhan sebar berita palsu
(Malaysiakini) – Bekas ahli majlis tertinggi (MT) Umno Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan iaitu menyebarkan berita palsu melalui rakaman audio visual mengenai vaksin dan virus Covid-19, pada April dan Mei lalu.
Ia sehari selepas dia diterima semula menyertai Umno.
Lokman, 48, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Lokman didakwa menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual tentang kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus Covid-19 dan kematian seorang pegawai polis yang dikaitkan dengan vaksin.
Penyebaran itu melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil “Lokman Adam” itu dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 10.55 malam, 3 Mei dan 10.38 malam, 9 April lepas.
Dua rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 4.40 petang, 9 Mei dan 8.55 malam, 11 April.
Mengulas pertuduhan itu, Lokman melalui satu kenyataan media berkata, dia agak terkilan bila mendengar pertuduhan berkenaan kerana videonya sekadar merayu agar kerajaan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin memberikan pampasan kepada keluarga arwah ACP Shariman, Ketua Cawangan Khas PDRM Pahang.
“Lebih menyedihkan bahawa, saya telah menyebut dengan jelas bahawa ‘walaupun hospital mengisytihar punca kematian adalah kerana sakit jantung’, saya merayu agar keluarga arwah diberikan pampasan memandang arwah meninggal selepas mengambil suntikan dan pada ketika itu, tidak ramai yang meninggal dunia selepas mengambil suntikan.
“Untuk tuduhan kedua saya telah didakwa kerana saya mempertikai bagaimana kerajaan Mahiaddin (Perikatan Nasional) yang menjanjikan bahawa pelawat dari India yang ketika itu berhadapan dengan varian baru, tidak akan dibenarkan masuk dalam negara ini,” katanya.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Kalmizah Salleh menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport OKS diserahkan kepada mahkamah.
“Pihak kami memohon untuk penyerahan pasport OKS kerana kawasan Lembah Klang akan memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kemungkinan sempadan negara akan dibuka tidak lama lagi,” katanya.
Peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman memohon jaminan rendah serta pasport anak guamnya tidak ditahan atas alasan sempadan negara masih belum dibuka.
“Anak guam saya kini tidak bekerja dan membantu isterinya menjual sate selain masih menanggung 11 orang anak mereka,” kata Logen.
Mahkamah kemudian membenarkan Lokman diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Nov depan untuk sebutan semula kes.
Mengulas lanjut, Lokman mendakwa pertuduhan yang dihadapinya itu adalah pendakwaan terpilih sebagaimana yang dihadapi oleh pemimpin-pemimpin Umno di bawah pentadbiran Muhyiddin sebelum ini.
“Sudah tiba masanya (Perdana Menteri) Ismail Sabri (Yaakob) mempertimbangkan dengan semasak-masaknya agar Idrus (Harun) dan manusia seperti Sabin (Samitah), CEO LHDN (Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri) yang menggunakan kedudukan mereka untuk mendera orang Umno dilepaskan dari jawatan yang membolehkan mereka menyalahgunakan kuasa yang ada.
“Apapun tindakan yang saya terima, ia tidak sedikitpun akan melemahkan semangat saya untuk membela nasib rakyat,” katanya.